Berita UtamaIstimewa

Promosi LGBTQ dikesan selindung di sebalik kempen ‘sekolah selamat’

Sekolah hanya akan selamat dengan ilmu yang benar, selain patuhi larangan agama

BANGI, 24 Syawal 1442H, Sabtu – Sekolah perlu diselamatkan dari anasir pro-orientasi seks songsang yang bercanggah dengan agama dan ideologi transgenderism.

Mewakili pihak guru dan ibu-bapa, Presiden WAFIQ yang juga Pengerusi Bersama MACSA, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dan Presiden i-Guru, Ustaz Mohd Azizee Hasan dalam satu kenyataan bersama berkata, terdapat kegusaran ke atas aktivis pro-Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Pelik (LGBTQ) yang telah secara terbuka ingin mempromosi gaya hidup itu di kalangan pelajar sekolah.

Kenyataan itu berkata, laman Instagram SekolahSemua melalui tagline #SembangSekolahSemua telah menjemput aktivis pro-LGBTQ, Nu’man Afifi bagi membangkitkan keperluan persekitaran sekolah yang menghormati kepelbagaian seks, termasuk orientasi seks songsang seperti homoseksual dan biseksual.

“Ini adalah satu bentuk promosi terbuka elemen LGBTQ yang kini telah cuba untuk dibawa masuk ke sekolah dan berselindung di sebalik kempen ‘sekolah selamat’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan menambah, sekolah hanya akan selamat dengan ilmu yang benar dan sahih selain mematuhi larangan agama terhadap homoseksualiti, biseksualiti, lesbianism serta trangenderism.

Jelas mereka, sekolah juga akan selamat sekiranya maklumat kesihatan yang jujur dimaklumkan termasuk bahaya seks anal dan seks bebas.

“Laporan Malaysia Global AIDS Monitoring 2020 menunjukkan prevalens HIV dikalangan homoseksual adalah 21.6 peratus manakala bagi transgender 10.9 peratus.

“Kadar ini sangat tinggi. Kadar jangkitan HIV dikalangan mereka yang berumur 15 hingga 19 tahun (umur lingkungan pelajar sekolah) ialah 4 peratus,” kata mereka.

Selain itu, mereka berkata, sekolah juga hanya akan selamat apabila para pelajar ditanam dengan konsep mencegah lebih baik daripada merawat dan bukannya kaedah seks selamat dengan terus melakukan aktiviti berisiko.

Malah, perkara sama juga terjadi sekiranya pendidikan seksual diberi sepenuhnya dalam kerangka kekeluargaan.

Mengambil contoh kejadian di Barat, kenyataan menegaskan, Joe Biden telah menandatangani arahan Eksekutif yang boleh ditakrifkan sebagai mengiktiraf dan mempromosi hak asasi LGBTQ di seluruh dunia.

Katanya, tindakan itu dilakukan selepas beberapa jam Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) menggantikan Donald Trump.

Tambah mereka, arahan Eksekutif itu menyebabkan kanak-kanak perempuan di sekolah di AS terpaksa berkongsi tandas bersama-sama kanak-kanak transgender.

“Sebelum pengisytiharan terbabit, ibu bapa dan penjaga menuntut tandas kanak-kanak perempuan di sekolah tidak dibuka kepada kanak-kanak trangender yang dikatakan menghidapi gender disforia.

“Kes ini menimbulkan bantahan besar di sekolah di negara berkenaan kerana kanak-kanak perempuan tidak berasa selamat.

“Adakah sekolah di Malaysia akan berhadapan dengan tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah sebegitu?” soal mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button