Berita UtamaUtama

Khuatir lambakan pelancong China tingkat penularan Koronavirus

Sejauh mana saringan pintu masuk KLIA cegah penularan wabak?

BANGI, 26 Jamadilawal 1441H, Rabu – Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir menyuarakan kebimbangan sekiranya peningkatan pelancong China disebabkan pengecualian visa, akan mempercepatkan lagi penularan wabak Koronavirus.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, tidak mustahil penularan wabak berkenaan akan menjadi lebih cepat jika tidak dikawal rapi. 

“Penularan wabak Koronavirus yang berasal dari China, Wuhan wajar diberi perhatian sebaik mungkin, terutama dalam mendepani kunjungan pelancong China sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. 

“Hal ini kerana, virus yang telah menyebabkan 6 kematian di China bukan sahaja merebak di Thailand dan Jepun malah telah menular sehingga ke Amerika Syarikat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengenai persiapan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan sasaran 5 juta pelancong dari China tidak akan mengundang penularan Koronavirus.

“Sejauh mana saringan di pintu masuk KLIA semata-mata mampu mencegah penularan walaupun dengan bilangan pelancong seramai itu? 

“Inisiatif KKM mengadakan sistem saringan di lapangan terbang KLIA sebagai langkah pencegahan perlu diperkemaskan lagi dan bukan semata-mata di pintu masuk malah turut diberi perhatian kepada individu yang telah memasuki Malaysia sebelum saringan idijalankan,” desaknya.

Kerajaan juga, katanya, perlu mengambil langkah berwaspada dengan turut membuat pengasingan terhadap mana-mana pelancong ataupun rakyat Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Wuhan.

Selain itu individu yang mengalami simptom-simptom jangkitan virus tersebut seperti demam dan radang paru-paru perlu diberi perhatian.

“Justeru, saya menggesa KKM mengambil serius berkenaan Koronavirus bukan dengan semata-mata mengawal pintu masuk di KLIA.

“Sediakan pelan tindakan selengkapnya bagi memastikan pelancong yang bakal datang ke Malaysia tidak menjadi penyebab penularan virus tersebut ke Malaysia,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close