Berita UtamaDuniaUtama

Kes pertama koronavirus di AS

Mangsa dikesan dijangkiti virus selepas kembali dari Wuhan

WASHINGTON, 26 Jamadilawal 1441H, Rabu – Kes pertama koronavirus disahkan dikesan di Amerika Syarikat (AS), di tengah-tengah kebimbangan virus misteri itu merebak ke China dan Asia.

Jurucakap Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS berkata, seorang rakyatnya dikesan dijangkiti virus berkenaan, selepas kembali dari China, baru-baru ini.

Mangsa berusia 30-an yang dilaporkan kembali ke Seattle pada minggu lalu, selepas melakukan perjalanan ke Wuhan, kini dirawat di sebuah hospital di Everett.

AS adalah negara kelima dilaporkan mempunyai kes berkaitan wabak berkenaan, selepas China, Thailand, Jepun dan Korea Selatan.

Sejak minggu lalu, pegawai kesihatan AS mula menyaring penumpang dari China di tiga lapangan terbangnya. Pemeriksaan itu dibuat bagi memastikan setiap individu yang masuk ke negara berkenaan tidak mempunyai jangkitan virus, apatah lagi menjelang sambutan Tahun Baru Cina minggu ini.

Terdahulu, Kerajaan Beijing melaporkan hampir 200 pesakit telah dijangkiti, dengan empat kematian. Kes baharu pesakit mengalami gejala seperti penyakit radang paru-paru turut dilaporkan di Jepun dan Thailand.

Beijing berkata, koronavirus baharu itu tidak berjangkit sesama manusia, tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menolak kemungkinan, ia boleh dijangkiti antara manusia kepada manusia dalam keadaan tertentu.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close