Berita Utama

GTA ditubuh kerana nak tentang pihak jarah harta negara

Mahu kembalikan kegemilangan Putrajaya sebagai bandar pintar

Oleh Zuhayati Yazid

PUTRAJAYA, 14 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) bukan kerana sakit hati tetapi mahu menentang kumpulan yang menjarah dan mengambil harta negara untuk kepentingan peribadi.

Hakikatnya, banyak ketirisan yang berlaku dalam pentadbiran hari ini dan perlu diubah demi mengembalikan hak penduduk terutama orang Melayu.

Calon Pejuang di Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Rosli Ramli percaya ada segelintir pemimpin yang terbabit kini semakin kecut perut kerana akan didakwa dengan salah laku dalam kerajaan sebelum ini.

“Ini yang perlu kita lihat, kalau kita terus bagi Putrajaya ini kepada mereka dengan kuasa penuh, mereka akan buat sesuka hati dan ketirisan akan terus berlaku.

“Hasil negara tidak akan dirasai oleh rakyat dan tak mustahil hanya dibolot oleh mereka sahaja,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Kelompok @Kejiranan A5 Presint 11, Putrajaya, malam ini.

Turut hadir bersama ialah Majlis Eksekutif Pejuang Pusat, Datuk Sazmi Miah dan Naib Presiden Berjasa, Ir Ts Lukman al Hakim Mohamad.

Mengulas lanjut, Rosli yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan berkata, negara mempunyai sistem yang bagus dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lengkap.

Namun malangnya, disebabkan kedudukan individu dari dunia politik yang salah – menyebabkan pentadbiran negara kini hilang integriti.

Putrajaya sudah hilang taring dan tenggelam disebabkan kesilapan pemerintahan yang tidak jujur, katanya.

“Justeru, Putrajaya yang ditubuhkan untuk menjadi bandar pintar ini perlu dikembalikan supaya dapat ditadbir dengan sempurna dan lebih baik.

“Sekiranya diberikan mandat, GTA berjanji akan mengembalikan kegemilangan Putrajaya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button