Berita UtamaUtama

iGuru sangkal laporan FMT, aktiviti agama tak jejas akademik pelajar

Patut bincang dengan sekolah, jangan buat persepsi negatif

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Jamadilawal 1441H, Rabu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyangkal dakwaan ibu bapa kononnya aktiviti kerohanian berlebihan membabitkan pelajar sekolah berasrama kerajaan menjejaskan prestasi akademik pelajar.

Menganggap dakwaan itu hanya bersifat terpencil, Timbalan Presiden iGuru, Ustaz Agus Lokman Sulam berkata, ia berkemungkinan timbul masalah dalam aspek teknikal program, namun tidaklah sehingga boleh menjejaskan prestasi akademik.

Beliau berkata, sekiranya ada masalah berkaitan perkara itu, ibu bapa boleh berbincang dengan pihak pentadbiran bukan memberi persepsi negatif kepada program sekolah.

“Setakat ini, di sekolah-sekolah yang cemerlang akademik di peringkat SPM, STPM dan PT3 membudayakan amalan-amalan kerohanian ini untuk menjadi terapi jiwa dalam memudahkan usaha menimba ilmu, seperti amalan membaca al-Quran dan solat berjemaah.

“Semua program sekolah adalah dirancang secara konsensus demi meningkatkan kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita liberal melaporkan keluhan ibu bapa – yang didakwanya mempunyai anak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) – terhadap aktiviti keagamaan di sekolah berkenaan yang kononnya memberi kesan kepada prestasi akademik.

Portal Free Malaysia Today (FMT) yang memetik bapa pelajar dikenali sebagai Amir mendakwa, aktiviti keagamaan itu memakan terlalu banyak masa dan tenaga pelajar sehingga mereka jadi letih dan lesu di kelas atau masa mengulangkaji pelajaran.

Laporan portal berkenaan ternyata tular di media sosial, sekali gus menerima kecaman daripada pengguna media sosial yang menyifatkan FMT sengaja membina premis untuk memburukkan agama Islam.

Bahkan, rata-rata netizen menolak dakwaan aktiviti kerohanian yang diterapkan di sekolah berasrama menganggu masa pelajar, sebalik lebih ramai yang cemerlang, baik dari segi akademik dan sahsiah.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close