Berita UtamaUtama

Ibu bapa patut sokong aktiviti agama mantapkan rohani anak

Laporan FMT salah, amalan agama tak jejas prestasi akademik murid

BANGI, 26 Jamadilawal 1441H, Rabu – Dakwaan kononnya aktiviti keagamaan berlebihan di sekolah berasrama penuh kerajaan sehingga mencapai tahap menjejaskan prestasi akademik pelajar, hanyalah kes terpencil daripada ibu bapa yang tidak biasa dengan amalan berkenaan.

Ketua Wanita Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA), Azizah Che Awang berkata, laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT) semalam, perlu diteliti dengan baik.

Sebagai bekas guru, beliau menyifatkan dakwaan segelintir ibu bapa yang mengatakan amalan agama berlebihan menjejaskan prestasi sekolah adalah tidak benar.

“Apabila kita lihat kebanyakan sekolah berasrama kerajaan mendapat ranking yang terbaik ketika peperiksaan.

“Contohnya, sekiranya anak-anak sekadar perlu mengikut solat sunat tambahan seperti solat hajat dan sebagainya, itu adalah amalan yang seharusnya ibu bapa sokong kerana ia aktiviti yang boleh memantapkan kerohanian pelajar dalam menghadapi peperiksaan besar di sekolah,” katanya.

Semalam, FMT melaporkan keluhan ibu bapa – yang didakwanya mempunyai anak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) – terhadap aktiviti keagamaan di sekolah berkenaan yang kononnya memberi kesan kepada prestasi akademik.

FMT yang memetik bapa pelajar dikenali sebagai Amir mendakwa, aktiviti keagamaan itu memakan terlalu banyak masa dan tenaga pelajar sehingga mereka jadi letih dan lesu di kelas atau masa mengulangkaji pelajaran.

Laporan portal berkenaan ternyata tular di media sosial, sekali gus menerima kecaman daripada pengguna media sosial yang menyifatkan FMT sengaja membina premis untuk memburukkan agama Islam.

Bahkan, rata-rata netizen menolak dakwaan aktiviti kerohanian yang diterapkan di sekolah berasrama menganggu masa pelajar, sebalik lebih ramai yang cemerlang, baik dari segi akademik dan sahsiah.

Azizah berkata, beliau yakin setiap perkara yang dilakukan oleh pihak pentadbiran, termasuk amalan keagamaan semuanya pasti untuk kebaikan murid dan sekolah.

“Sungguh pun begitu, saya nasihat ibu bapa berkenaan untuk duduk berbincang dengan pihak sekolah supaya perkara ini dapat diselesaikan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close