Berita UtamaUtama

FMT sengaja cetus fahaman dangkal terhadap Islam

Islam agama syumul, tak amal ritual pelik tanpa sebarang makna

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Jamadilawal 1441H, Rabu – Laporan sebuah portal berita liberal berhubung dakwaan kononnya aktiviti kerohanian berlebihan membabitkan pelajar sekolah berasrama kerajaan menjejaskan prestasi akademik pelajar, hanya berpaksikan ‘kefahaman yang dangkal’ terhadap Islam.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Zaizul Azizi Zaman berkata, Islam bukanlah agama yang mengamalkan ritual pelik tanpa sebarang makna dan mengharapkan kuasa ajaib dalam mencapai kejayaan.

Bahkan, beliau berkata, agama Islam juga bukan satu tempelan yang diguna untuk melengkapkan ruang lompong kerohanian dalam kerangka berasaskan materialisme Barat.

“Islam adalah satu sistem hidup yang syumul untuk umat manusia seluruhnya, yang merangkumi seluruh urusan hidup, meliputi aspek fizikal, mental, emosi dan kerohanian.

“Melihat Islam dan pengalaman agama sebagai ritual semata-mata adalah kefahaman yang salah dan dangkal. Mengamalkan beberapa ritual Islam tanpa kefahaman yang jelas bukan cara betul beramal dengan Islam,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Free Malaysia Today (FMT) melaporkan keluhan ibu bapa – yang didakwanya mempunyai anak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) – terhadap aktiviti keagamaan di sekolah berkenaan yang kononnya memberi kesan kepada prestasi akademik.

FMT yang memetik bapa pelajar dikenali sebagai Amir mendakwa, aktiviti keagamaan itu memakan terlalu banyak masa dan tenaga pelajar sehingga mereka jadi letih dan lesu di kelas atau masa mengulangkaji pelajaran.

Laporan portal berkenaan ternyata tular di media sosial, sekali gus menerima kecaman daripada pengguna media sosial yang menyifatkan FMT sengaja membina premis untuk memburukkan agama Islam.

Bahkan, rata-rata netizen menolak dakwaan aktiviti kerohanian yang diterapkan di sekolah berasrama menganggu masa pelajar, sebalik lebih ramai yang cemerlang, baik dari segi akademik dan sahsiah.

Mengulas lanjut, Zaizul yang juga aktivis kemasyarakatan menyifatkan pandangan dangkal seumpama itu sebenarnya berpunca kepada kekaguman pihak tertentu terhadap kemajuan dunia hari ini, dan gagal memahami titik kekuatan umat Islam.

“Islam perlu difahami secara meyeluruh dan di amalkan dalam segenap aspek kehidupan, baru lah akan tampak hasil dalam dunia nyata. Barat mendapat kemajuan dengan meninggalkan agama. Inilah asas tamadun Barat.

“Mereka capai kemajuan bila mereka pecahkan kongkongan gereja dan pisahkan agama daripada kehidupan. Umat Islam pula bangkit kerana agama.

“Agama Islam lah yang menjadi sebab dan motivasi kepada kebangkitan mereka dalam segenap bidang ilmu, mencipta dan menggali rahsia alam. Sains dan tekonologi berkembang pesat selama ratusan tahun di bawah kekuasaan Islam,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close