Berita UtamaDunia

Jemaah haji Yaman berlepas ke Tanah Suci, penerbangan pertama sejak ditutup 2016

277 pengembara berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Sanaa

SANAA, 29 Zulkaedah 1444H, Ahad – Penerbangan komersial pertama dari ibu kota Yaman – yang dikuasai pemberontak – sejak 2016 ke Arab Saudi berlepas membawa jemaah haji pada Sabtu – tanda terbaharu meredakan ketegangan selepas perang bertahun-tahun.

Sebuah pesawat Yemenia Airways yang membawa 277 pengembara berlepas kira-kira jam 8 malam (1700 GMT), tujuh tahun sejak lapangan terbang antarabangsa Sanaa disekat oleh pakatan diketuai Arab Saudi yang memerangi pergerakan Houthi disokong Iran.

Penerbangan itu adalah yang pertama sejak lapangan terbang Sanaa ditutup oleh sekatan pakatan pada Ogos 2016, lebih setahun selepas kempen ketenteraan diterajui Arab Saudi untuk mengusir Houthi.

Dua lagi penerbangan akan berlepas pada Isnin dan Selasa, kata pegawai.

Menteri Kerja Raya Houthi, Ghaleb Mutlaq berkata, kira-kira 200 penerbangan diperlukan untuk menampung 24,000 orang yang katanya mahu mengembara.

Ratusan ribu orang telah terkorban dalam pertempuran dan akibat tidak langsung seperti kekurangan makanan atau air dalam apa yang dikatakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai salah satu krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

Bagaimanapun di sebalik serangan bom pakatan dan pertempuran darat, Houthi – yang menguasai Sanaa pada 2014 – menggulingkan kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, menguasai sebahagian besar negara itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button