Berita UtamaUtama

Tak munasabah lanjut konsesi PLUS hingga 20 tahun

PH ambil tindakan populis kerana gagal hapus tol secara peringkat

BANGI, 24 Jamadilawal 1441H, Isnin – PAS menyifatkan lanjutan konsesi PLUS Malaysia Bhd (PLUS) selama 20 tahun tidak munasabah, meskipun pengurangan kadar tol 18 peratus tanpa bayaran pampasan akan dilakukan mulai 1 Februari ini.

Justeru, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta pihak Kerajaan Persekutuan menyemak semula tempoh lanjutan 20 tahun konsesi PLUS sehingga 2058.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan bahawa Pakatan Harapan (PH) gagal menghapuskan tol secara berperingkat, sebaliknya mengambil tindakan populis melanjutkan tempoh konsesi.

“PLUS adalah aset strategik Khazanah Nasional dan ia harus memikirkan mekanisme terbaik untuk menjaga kepentingan rakyat.

“PAS percaya tindakan Pengarah Urusan Khazanah Nasional mempertahan PLUS daripada dijual kepada sektor swasta yang lain sebenarnya mempunyai tawaran yang lebih baik.

“Sekiranya dihitung secara logik, rakyat akan terus terbeban dengan kaedah lanjutan tambahan konsesi 20 tahun dan ia tidak selari dengan hasrat awal pengambil alihan PLUS pada tahun 2011 dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan, bayaran tol semua lebuh raya milik PLUS diturunkan 18 peratus tahun ini dan kadar itu kekal sehingga tamat tempoh konsesi lanjutan pada 2058.

Dr Mahathir berkata, langkah itu diambil selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menjual PLUS kepada mana-mana pihak dan mengekalkan pemilikan sahamnya oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri berkata, kerajaan dianggar dapat menjimatkan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi PLUS selama 38 tahun lagi.

Katanya, penjimatan itu disebabkan kerajaan tidak akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS, selepas tempoh konsesi dilanjutkan sehingga 2058.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan mengambil alih PLUS daripada pihak swasta menerusi UEM Group Bhd dan KWSP pda tahun 2011, untuk menstruktur semula perjanjian konsesi berat sebelah yang telah dimeterai sejak tahun 1990-an.

“Sekurang-kurangnya kadar tol PLUS tidak dinaikkan sepanjang 10 tahun lalu dan pampasan kerajaan RM6.5 bilion tidak perlu dibayar lagi.

“Justeru, lebih baik Khazanah Nasional dan KWSP komited ke arah hasrat awal pengambil alihan tol dan tidak melanjutkan konsesi selama 20 tahun lagi,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close