Berita UtamaUtama

RMT dengan penambahbaikan dilaksana hari ini

Ubah waktu bantuan, tingkat jumlah penerima dalam kategori miskin

BANGI, 24 Jamadilawal 1441H, Isnin – Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan penambahbaikan mula dilaksanakan hari ini, membabitkan 100 buah sekolah dan 4,000 orang murid yang disasarkan di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata, RMT adalah penambahbaikan kepada program makanan tambahan sedia ada yang akan memanfaatkan murid-murid dalam kalangan keluarga miskin tegar, murid orang kurang upaya (OKU) dan di sekolah orang Asli atau Penan.

KPM berkata, penambahbaikan yang dilakukan kepada program RMT adalah termasuk mengubah waktu pelaksanaan serta meningkatkan jumlah penerima dengan mengambil kira murid yang berada dalam kategori miskin dan bukan sahaja miskin tegar.

“Masa pelaksanaan program ini adalah antara jam 7 pagi hingga 7.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan antara jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang bagi persekolahan sesi petang.

“Perbezaan masa bagi sesi pagi ini adalah berbeza dari program RMT sebelum ini, di mana murid-murid diberi makan pada waktu rehat sekolah,” katanya.

Kementerian itu berkata, melalui pelaksanaan program berkenaan, murid-murid diberikan pendidikan kesihatan dengan mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat yang membantu merangsang proses tumbesaran mereka di peringkat umur awal persekolahan.

“Nilai-nilai murni, pembinaan sahsiah diri dan disiplin dapat diterapkan melalui adab dan etika makan dalam kalangan murid.

“Pelaksanaan penambahbaikan program RMT ini diharapkan akan dapat memberi manfaat kepada murid-murid dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah, selari dengan hasrat kerajaan dalam menyediakan bantuan pendidikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close