Berita UtamaDuniaUtama

Jurugambar buta angkara Israel

Attiya Darwish cedera teruk, patah tulang muka dan rahang

GAZA, 24 Jamadilawal 1441H, Isnin – Tidak menyangka serangan kali kedua dalam tempoh kurang tiga bulan menyebabkan seorang jurugambar Palestin hilang sebelah penglihatan selepas mata kirinya cedera angkara rejim pengganas Israel.

Attiyah Darwish, 32, dipukul dengan kanister gas pemedih mata di wajahnya pada Disember, ketika membuat liputan protes mingguan di sempadan Gaza-Israel.

Attiyah yang kini menerima rawatan mata di Mesir dan Jordan berkata, dia telah kehilangan seluruh penglihatan di mata kirinya akibat serangan rejim itu.

“Saya sedang mengambil gambar, tiba-tiba merasakan hentaman kuat di muka saya. Saya jatuh kerana terlalu sakit, selain terkejut dengan insiden yang berlaku,” katanya ketika bercerita kembali detik kejadian.

Menurut doktor yang merawat, Attiyah mengalami patah tulang muka dan rahang, serta pendarahan teruk di mata serta telinga sebelah kiri, yang menyebabkan sekurang-kurangnya 80 peratus gangguan penglihatan.

Dr Faisal Tawfiq Fayyad berkata, mata kiri Attiyah mengalami parut di tengah-tengah penglihatannya, walaupun beberapa pembedahan dibuat, ia tidak boleh memulihkan matanya seperti sedia kala.

Attiyah yang kini bekerja di agensi berita al-Rai Palestin telah berkhidmat sebagai jurugambar selama 10 tahun.

“Saya tidak dapat rasa wajah di sebelah kiri, dan sakit meninggalkan kesan terutama ketika sejuk dan makan.

“Saya akan terus mengambil gambar kerana saya masih mempunyai satu lagi mata,” katanya.

Pengguna media sosial Palestin mula menularkan kisah pemuda berkenaan dengan hashtag #AttiyaEye dan #EyeOfTruth dalam bahasa Arab selepas kempen seumpamanya terhadap seorang jurugambar, Memuath Amarneh mendapat solidariti seluruh dunia pada November lalu.

Memuath, 36, adalah jurugambar bebas Palestin yang buta sebelah mata selepas ditembak tentera ketika membuat liputan bantahan di Tebing Barat.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan dengan kempen dalam talian menggunakan tanda pagar #muatheye #eyeoftruth serta #muathamarneh, susulan penyebaran video dan gambarnya dibawa dari tempat kejadian dengan darah meleleh dari mata kirinya.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close