Berita UtamaUtama

Teknologi baharu loji rawatan kumbahan seluruh negara

Lebih efisien, murah, bersih dalam merawat air kumbahan

LANGKAWI, 23 Jamadilawal 1441H, Ahad – Semua loji pembentungan dan rawatan kumbahan di negara ini, dijangka beralih menggunakan teknologi baharu yang lebih efisien, murah dan bersih dalam merawat air kumbahan jika projek rintis teknologi itu di Langkawi menunjukkan keberkesanan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, teknologi ‘Advanced Moving Bed Bio-Reactor’ (AMBBR) kini diuji, di Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah, di sini yang melalui tempoh percubaan, selama dua tahun sebelum sistem tersebut diperkenalkan di loji-loji lain.

“Kita selalu menghadapi masalah air kotor, air yang diguna oleh kedai atau oleh orang perseorangan di mana pun dia duduk. Jadi sekarang ini kita dapati satu sistem baharu yang dimiliki oleh Malaysia dan sistem ini mengambil air kotor atau waste water dan boleh proses sehingga jadi bersih, tak ada lagi sedimen.

“Jadi sekarang ini kita sudah jumpa sistem ini.

Dulu, kita ada loji rawatan tapi ia ada kolam yang besar dan sebagainya dan melibatkan kos yang tinggi, jadi sistem baharu ini kita nak uji dulu dua tahun, kalau ia berjaya maka sistem ni akan ganti sistem-sistem lain yang kita digunakan sekarang ini untuk membersihkan air sisa,” katanya, kepada pemberita selepas melawat dan meninjau pelaksanaan teknologi itu di Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah, di sini hari ini.

Beliau berkata, teknologi baharu itu amat penting untuk memastikan air kumbahan dirawat sebaik mungkin dan mengelakkan ia daripada mengalir ke laut dan mencemarkan pantai.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, teknologi tersebut merupakan yang pertama dilaksanakan di negara ini dan sekiranya ia membawa keberkesanan tinggi dalam merawat air kumbahan, Malaysia boleh menjual teknologi berkenaan kepada negara lain yang berminat.

Projek rintis AMBBR itu dilaksanakan Syarikat Kyoto Water Sdn Bhd dengan kos RM16.5 juta yang melihat keberkesanan teknologi itu dalam rawatan fizikal dan biologi air kumbahan seterusnya dapat meningkatkan kualiti efluen yang dihasilkan.

Projek yang siap pada 2018 itu kini dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) sebelum diserahkan kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd yang dijangka pada Jun tahun ini.

Sementara itu, ditanya mengenai sama ada bekalan air untuk kegunaan di Langkawi mencukupi, perdana menteri berkata, bekalan air di pulau ini diperoleh dari Perlis yang disalurkan menerusi paip dasar laut.

Beliau menjelaskan, aktiviti nelayan yang menangkap ikan menggunakan pukat jaring telah merosakkan saluran paip sekaligus menyebabkan bekalan air ke sini terganggu.

“Bekalan air kita dapati, kehilangan banyak air terutama dalam laut, dalam paip yang membawa air dari Perlis ke Langkawi kerana ada nelayan heret dia punya jaring dan rosakkan paip, jadi kita nak betulkan perkara itu, nak tanam paip dalam tanah,” katanya.

Selain itu, katanya, sumber-sumber air bawah tanah yang terdapat di Langkawi juga boleh dijadikan sumber baharu bekalan air di Langkawi sekaligus mengelakkan pulau ini daripada bergantung kepada air yang disalurkan menerusi paip dari tanah besar.

Mengulas mengenai penurunan 18 peratus kadar tol di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd (PLUS), Dr Mahathir berkata, ia dijangka tidak menjejaskan kewangan konsesi itu terutama untuk memastikan lebuh raya diselenggara dengan baik.

“Dia (PLUS) bagi pengakuan dengan kurangkan tol sebanyak 18 peratus dan tidak ada kenaikan tol selama 38 tahun, dia dapat perolehan yang mencukupi untuk biayai kerja-kerja pemulihan dan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Kita percaya bahawa penggunaan jalan ini juga akan meningkat dan ini akan menambah kepada pendapatan Khazanah dan kita juga dapati dia ada punca pendapatan lain seperti pengiklanan dan lain-lain,” katanya.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close