Uncategorized

Kadar 4 tol di Lembah Klang akan kekal

Penjimatan akan dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur, kemudahan lain

BANGI, 2 Ramadan 1443H, Isnin – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kadar tol di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), SMART, SPRINT dan Damansara-Puchong (LDP) tidak akan dinaikkan bahkan akan dikekalkan sehingga tamat konsesi.

Beliau berkata, langkah itu dibuat selepas kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya tersebut.

“Kerajaan meneliti secara terperinci semua aspek yang meliputi bebanan kepada pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri menegaskan, langkah penstrukturan itu dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari sehingga tamat tempoh konsesi.

“Penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion,” katanya.

Malah, katanya, usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol sepertimana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

“Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Penstrukturan berkenaan dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama kerajaan iaitu untuk mengurangkan beban rakyat serta tidak melibatkan implikasi kewangan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, penstrukturan semula ini akan dimaklumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam masa terdekat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button