Berita UtamaUtama

Kuasa ketiga perlu ambil alih bangunkan negara

Ketirisan minda umat punca musuh hancurkan Islam: Zainul Rijal

BANGI, 23 Jamadilawal 1441H, Ahad – Kebejatan dan kemunduran umat Islam ketika ini disebabkan kesilapan meletakkan keutamaan dalam sesuatu permasalahan, kata Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Justeru katanya, anjakan paradigma perlu bermula daripada diri sendiri sebelum dapat memperbetulkan orang lain.

Beliau menjelaskan, anjakan paradigma dalam erti kata lain melakukan penghijrahan minda dan tindakan itu amat penting ke arah mengembalikan kecemerlangan umat Islam.

“Kita perlu beralih daripada perspektif konvensional kepada yang lebih baik lagi, beralih daripada mementingkan format dan simbol kepada hakikat dan kandungan. Selain itu, beralih daripada perdebatan yang mahu mementingkan kemenangan kepada diskusi membuahkan hasil.

“Umat Islam juga perlu mengalihkan tumpuan daripada tidak habis-habis bercakap mengenai masalah furuq kepada menumpukan penyelesaian masalah pokok.

“Beralih daripada menyusahkan kepada memudahkan, sikap jumud dan taqlid buta kepada ijtihad dan pembaharuan, sikap eksklusif kepada inklusif, berlebihan kepada sederhana, berkeras kepada hikmah dan pertelingkahan kepada perpaduan serta pendamaian,” katanya.

Menulis di kolumnis Sinar Harian hari ini, Presiden PPMM itu berkata, dengan ilmu, umat Islam mampu berfikir dengan terbuka dan lebih matang untuk melihat permasalahan yang melanda khususnya di Malaysia hari ini.

Katanya, jika umat Melayu Islam tidak mengkaji dan sambil lewa sahaja dalam membuat sesuatu keputusan, ia sememangnya akan merugikan mereka.

Bahkan, ketirisan minda umat Islam itu akhirnya diambil kesempatan oleh musuh untuk menghancurkan Islam secara senyap mahupun terang-terangan.

“Jika kita ingin membina sebuah rumah, mestilah ada asasnya seperti bahan mentah (pasir, simen, tiang dan batu bata) selain bahan-bahan lain.

“Analogi itu saya garapkan dalam usaha membina asas kecemerlangan umat Islam iaitu ia mestilah dibentuk dengan adunan asas utama yakni ilmu, iman dan akhlak. Proses merealisasikan impian kejayaan Islam bermula daripada diri, ahli keluarga, masyarakat serta negara.

“Mungkin sudah sampai masanya kita tidak lagi bergantung kepada orang politik bagi membangun negara. Kuasa ketiga perlu ambil alih tanggungjawab ini,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close