Berita UtamaUtama

Kerjasama Singapura-Malaysia tahan orang buruan

Babit jenayah serius seperti bunuh, pecah rumah, jenayah komersial

SINGAPURA, 23 Jamadilawal 1441H, Ahad – Singapura telah meminta bantuan pihak penguat kuasa undang-undang Malaysia untuk menahan lebih 55 orang buruan, antara 2016 hingga 2019.

Ia dilakukan, di bawah Seksyen 121 Kanun Prosedur Jenayah, satu perjanjian timbal balik yang telah lama antara Singapura dengan Malaysia untuk saling mengiktiraf dan melaksanakan waran penangkapan di dalam negara masing-masing.

Orang buruan terbabit terlibat dalam jenayah serius seperti pembunuhan, pecah rumah dan jenayah komersial yang menyebabkan kerugian besar berjumlah lebih S$120 juta.

Pihak penguat kuasa undang-undang republik ini, secara timbal balik pula telah menangkap dan menyerahkan penahanan kepada pihak berkuasa Malaysia, lebih daripada 25 orang buruan di Singapura dikehendaki oleh Malaysia pada tempoh itu.

Satu daripada kes yang mana, pihak berkuasa Malaysia membantu rakan sejawatannya di Singapura adalah penahanan seorang warga Malaysia, Took Leng How pada 2004, yang telah melarikan diri dari republik itu semasa siasatan pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun, Huang Na yang mayatnya ditemukan di Telok Blangah Hill Park.

Perjanjian timbal balik itu, telah membolehkan pihak penguat kuasa undang-undang Singapura, untuk mendapat kembali ramai penjenayah yang melarikan diri ke Malaysia selepas melakukan jenayah di Singapura.

Perkara ini adalah, sebahagian daripada maklum balas Pasukan Polis Singapura (SPF) kepada pertanyaan media berkaitan pemindahan tahanan Singapura kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira lima tahun lepas.

Rakyat Singapura terbabit pada 7 Jan lepas, meminta penjelasan daripada pihak berkuasa Singapura mengenai penahanannya dan ekstradisi ke Malaysia pada 2015 atas pertuduhan yang dibuat terhadapnya dalam kes pembunuhan di Pulau Pinang.

Oleh itu, SPF telah membuat keputusan untuk membuat penjelasan “kerana terdapat anggapan yang tersebar luas dan tidak benar” mengenai apa yang berlaku dalam kes itu.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close