Berita UtamaUtama

BN eskploitasi kelemahan PH raih semula sokongan rakyat

Permainan persepsi dua parti berjaya tarik perhatian pengundi Kimanis

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 23 Jamadilawal 1441H, Ahad – Isu pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) antara penyumbang kepada kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis, semalam.

Pemerhati Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Isa Hamzah percaya, isu PSS adalah antara faktor trend pengundi cenderung kepada BN, selain daripada beberapa isu nasional yang menyebabkan imej Pakatan Harapan (PH) tercalar.

Walaupun sudah menjangkakan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan berdasarkan analisis beberapa pihak sebelum ini, beliau berkata, persepsi yang dimainkan BN berjaya menarik kepercayaan pengundi terhadap parti itu.

“Saya berpandangan isu setempat seperti PSS, termasuk isu nasional juga memainkan peranannya pada PRK Parlimen Kimanis. Walaupun majoriti tidak sebesar ketika di Tanjung Piai, namun beza 2,029 undi itu sebenarnya cukup kuat bagi BN.

“Ini kerana kita tahu Warisan yang diketuai Datuk Seri Shafie Apdal adalah ‘giant’ dalam politik Sabah. Parti itu mampu menguasai negeri berkenaan dalam tempoh singkat, maknanya mereka kuat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, BN mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis menerusi kemenangan calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 47, pada PRK kawasan itu dengan majoriti 2,029 undi.

Calon BN Datuk Mohamad Alamin, 48, memperoleh 12,706 undi, manakala pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada parti Warisan meraih 10,677 undi.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Melihat momentum beberapa siri PRK sebelum ini, Dr Isa berkata, sekiranya Pilhan Raya Umum (PRU) diadakan, kemungkinan pertembungan yang sengit berlaku di antara kedua-dua parti.

“Persepsi terhadap PH ketika ini rendah. Ikutkan permainan persepsi ini daripada zaman PH mereka sudah guna sehingga mampu menumbangkan BN. Cuma, sepatutnya PH lebih bijak dengan strategi bagaimana untuk menangkis persepsi terhadap mereka.

“Mungkin juga kerana faktor mereka berasa zaman BN terlalu menekan dan tiada kebebasan, jadi PH memberi ruang untuk semua orang bercakap apa-apa,” katanya.

Beliau berkata, jika melihat keadaan BN hari ini, tiada perubahan besar berlaku, memandangkan parti berkenaan masih mengekalkan pucuk pimpinan daripada individu yang sama.

“Bagaimanapun, nampak rakyat hari ini lebih ‘concern’ dengan PH yang tidak menunaikan janji dan ‘perform’ sepanjang mentadbir. Kelemahan PH, dieksploitasi oleh BN untuk meraih semula kepercayaan rakyat,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close