Berita UtamaUtama

Rasmi: BN menang PRK Kimanis

Mohamad berjaya kalahkan calon Warisan dengan majoriti 2,029 undi

BANGI, 22 Jamadilawal 1441H, Sabtu – Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis selepas calonnya, Datuk Mohamad Alamin diumum menang dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini dengan majoriti 2,029 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kimanis, Jupry Etok di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.

Keputusan rasmi itu menunjukkan Mohamad memperoleh 12,706 undi, sekali gus menewaskan pencabarnya, iaitu calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang yang memperoleh 10,677 undi.

Proses pengundian yang berakhir jam 5 petang tadi melibatkan 29,619 daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi di kesemua 19 pusat mengundi dengan 68 saluran dibuka tepat jam 7.30 pagi tadi.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Warisan dan BN.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, Karim yang turut bertanding sebagai calon Warisan bagi kerusi itu, namun kalah dengan majoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail meraih 1,300 undi.

PRK di kawasan Parlimen itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember tahun lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu pada PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Karim seterusnya memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close