Berita Utama

Oktoberfest: MP DAP gesa menteri agama tak campur tangan kebudayaan bukan Islam

Campur tangan boleh menjejaskan imej agama Islam sendiri

BANGI, 2 Muharram 1444H, Ahad – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad dinasihatkan, tidak campur tangan dalam acara kebudayaan orang bukan Islam di negara ini, sebaliknya perlu tumpukan khidmatnya kepada orang Islam sahaja.

Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpiri Shah Raja Puri berkata, perbuatan campur tangan ini adalah bercanggah dengan ajaran Islam sebenar selain boleh menjejaskan imej agama Islam itu sendiri.

“Aktiviti perniagaan yang tidak halal oleh orang bukan Islam adalah kebebasan yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan, saya sebagai Ahli Parlimen beragama Islam akur orang Islam tidak patut minum minuman yang beralkohol dan terlibat dalam aktiviti haram dari segi agama Islam.

“Tetapi umat Islam tidak harus campur tangan dalam hal ehwal budaya, kehidupan dan aktiviti perniagaan masyarakat bukan Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan Idris yang berpandangan, festival Oktoberfest tidak sepatutnya disambut kerana boleh mencetuskan masalah sosial.

Tengku Zulpuri menjelaskan, festival Oktoberfest adalah aktiviti mempromosikan bir yang diadakan secara dalaman di restoran atau pub yang tidak halal dan bukan secara terbuka seperti didakwa Idris sebelum ini.

Ahli Parlimen DAP itu mendakwa, kenyataan menteri agama itu berkaitan aktiviti perniagaan restoran bukan Islam, bukan sahaja boleh menjejaskan imej Islam.

Katanya lagi, tindakan Idris mengulangi kenyataan yang boleh mengganggu keharmonian di antara orang Islam dan bukan Islam sama seperti dilakukan dalam kenyataannya mengenai perayaan Bon Odori.

Bulan lalu, Idris menyeru umat Islam supaya tidak menyertai sambutan Bon Odori yang dianjurkan oleh Kedutaan Jepun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button