Berita UtamaUtama

Pelarian Syria hargai usaha NGO Malaysia beri bantuan

Lari dari Aleppo setelah kota berkenaan dihujani salji

SANLIURFA, 22 Jamadilawal 1441H, Sabtu – “Terima kasih Malaysia, anda badan bukan kerajaan (NGO) pertama yang hadir beri bantuan setelah lima bulan kami berpindah ke sini,” kata ketua kumpulan pelarian Syria, Abdullah Hussein kepada Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang menjalankan misi kemanusiaan membantu pelarian Syria.

Abdullah bersama kira-kira 100 pelarian daripada 20 keluarga berpindah ke Kem Al-Kaniah, di sini, sejak lima bulan lepas dari Konya, juga di Turki setelah kota itu dihujani salji.

“Setelah berjaya melarikan diri dari kampung halaman di Aleppo (Syria), kami berpindah ke Konya. Namun kami terpaksa berpindah ke sini sejak pertengahan tahun lepas kerana keadaan di sana yang terlampau sejuk selain tidak boleh bercucuk tanam,” katanya kepada Bernama TV yang turut serta dalam misi berkenaan.

Abdullah berkata, sejak itu mereka mendirikan khemah dan terpaksa melakukan pelbagai kerja bersama penduduk kampung berhampiran untuk menyara keluarga.

Bagaimanapun, disebabkan terdapat tiga kem pelarian di sekitar tempat itu, peluang pekerjaan sangat terhad dan Sanliurfa pula mula dilanda musim sejuk sejak September lepas menyebabkan bekalan makanan sering terputus.

Menurutnya, kehadiran NGO dari Malaysia itu adalah suatu yang tidak disangka sama sekali di saat mereka sangat memerlukan bekalan makanan dan selimut terutama untuk kanak-kanak yang kebanyakannya mula sakit kerana kesejukan.

“Ketika di Syria, NGO Malaysia sering hadir menghantar bantuan namun disebabkan keadaan semakin teruk di kampung halaman kami terpaksa melarikan diri ke kawasan selamat.

“Ketibaan anda membawa bekalan makanan, tilam dan selimut ibarat rahmat besar kepada kami yang kadang kala berputus harap untuk meneruskan hidup kerana kelaparan dan kesejukan,” katanya.

Kedatangan GPM Malaysia, bersama Pertubuhan Kemanusiaan dan Pembangunan Malaysia (HUDA) dan sukarelawan Brunei, WeCare adalah bersempena Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk di Turki dan Syria sejak 10 Jan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata sebanyak tujuh kem pelarian dilawati di Sanliurfa termasuk sebuah kem di dalam gua.

“Menerusi sumbangan rakyat Malaysia, kita berjaya mengagihkan 200 kotak makanan berisi 15 bahan mentah berharga 200 Lira (RM138), selimut dan tilam kepada kira-kira 100 keluarga atau secara kasarnya memberi manfaat kepada 1,000 pelarian.

“Sumbangan masih lagi diperlukan agar lebih ramai keluarga pelarian dapat dibantu dan ia boleh disalurkan menerusi akaun Global Peace Mission iaitu Maybank Islamic 5642-2161-1602, Bank Islam 1402-3010-0292-24 dan Affin Bank 1051-9000-2871,” katanya.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close