Berita UtamaIstimewaUtama

Hina permaisuri: Bertegaslah wahai menteri!

Hukuman yang ringan jadi faktor mengapa kes hina raja berulang

Oleh Nurul Atikah Mohd Rosli

BANGI, 22 Jamadilawal 1441H, Sabtu – “Menteri tidak boleh `lembik’ dalam isu ini! Mesti keluar kenyataan tegas dan gesa rakyat supaya pertahankan institusi raja-raja Melayu selaras dengan Perlembagaan,” tegas Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Hazwan Mohamad.

Beliau berkata demikian, berhubung isu cercaan terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang digelarkan ‘nenek sihir yang rasis’ dalam kalangan netizen dipercayai berbangsa Cina.

Hazwan berkata, hukuman lebih berat harus dilaksanakan kepada individu berkenaan ekoran daripada tindakan mereka menghina institusi raja.

Katanya, kebiadapan berkenaan bukan pertama kali berlaku namun malangnya negara mempunyai undang-undang tetapi jarang digunakan untuk menghukum individu terbabit.

“Hukuman lebih keras harus dilaksanakan. Kalau kita lihat, kebiadapan ini bukan pertama kali. Namun, tiada penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

“Kita ada Akta Hasutan 1948 atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika bersalah boleh didenda RM10,000 atau lima tahun penjara. Namun, setakat hari ini, kita jarang dengar individu yang terbabit mendapat hukuman ini.

“Bermakna apa? Tertuduh hanya di peringkat rendah sahaja. Tidak mustahil dek kerana hukuman yang ringan ini menjadi faktor mengapa kes hina raja berulang,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Ismaweb.net melaporkan, terdapat sebuah halaman di Facebook dipercayai menjadi medan netizen dalam kalangan orang Cina menghina Raja Permaisuri Agong.

Pengguna dikenali sebagai Nengtung Ting difahamkan mencerca, Tunku Azizah susulan tindakan baginda menggunakan tulisan jawi di Twitter sebagai langkah untuk memperkasakan tulisan berkenaan.

“Nenek sihir yang rasis,” kata Ting dalam tulisan Mandarin.

Mengulas lanjut perkara itu, Hazwan berkata, kebiadapan dalam kalangan netizen berlaku kerana ketidakfahaman mereka terhadap Perlembagaan negara.

Malah, katanya, mereka itu juga tidak ada penghayatan terhadap Rukun Negara.

“Kebiadapan individu terhadap institusi raja bukanlah sesuatu yang patut dipandang mudah dan ringan.

“Antara faktor kebiadapan ini adalah kerana ketidakfahaman mereka terhadap Perlembagaan dan tiada penghayatan terhadap Rukun Negara,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close