Berita UtamaIstimewaUtama

Apakah salah umat Islam ikut saranan Jakim?

Cukup perayaan Ponggal dirai kelompok tertentu, tak libat umat Islam

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 22 Jamadilawal 1441H, Sabtu – “Pesta Ponggal adalah satu perayaan keagamaan yang asal-usulnya untuk menzahirkan kesyukuran kepada dewa-dewa dan alam, tetapi mengapakah seolah-olah orang Islam juga perlu meraikannya sekali? Bukankah ini boleh jatuh kepada syirik?

Demikian soal Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mengeluarkan kenyataan supaya tindakan tegas diambil kepada pegawai pendidikan yang mengeluarkan pekeliling agar pelajar-pelajar muslim dilarang mengambil bahagian dalam Pesta Ponggal.

Walhal, pekeliling tersebut adalah berdasarkan saranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan selari dengan kenyataan-kenyataan para mufti di Malaysia, kata beliau.

“Apakah kini menjadi satu kesalahan untuk umat Islam mengikut saranan-saranan dari Jakim dan para mufti atas alasan menjaga hati penganut agama lain?

“Cukuplah sekadar perayaan Ponggal ini diraikan oleh kelompok tertentu dan tidak melibatkan umat Islam. 

“Banyak lagi sambutan yang kita boleh raikan bersama seperti Hari Pembubaran Malayan Union, Hari Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mujahid mempersoal tindakan pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana dakwanya, memutarbelitkan kandungan surat berkenaan.

Sebelum ini, KPM mengeluarkan surat pekeliling berhubung perayaan Pesta Ponggal, bagi mengurangkan kebimbangan pihak ibu bapa murid beragama Islam dalam pembabitan anak mereka ketika sambutan perayaan itu.

Pekeliling itu turut menggariskan beberapa syarat yang dinyatakan oleh Jakim seandainya umat Islam turut sama hadir dalam perayaan Pesta Ponggal itu.

Ponggal adalah perayaan sempena berakhirnya musim menuai, di mana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari. 

Ia bukan amalan budaya sebaliknya adalah berunsur keagamaan Hindu.

‘Al-Afkar #39: Muslim menyertai pesta Ponggal’ terbitan Mufti Wilayah Persekutuan, menjelaskan bahawa secara asasnya umat Islam adalah dilarang menghadiri dan menyertai Pesta Ponggal yang disambut dalam kalangan masyarakat beragama Hindu kerana ia adalah perayaan keagamaan.

Al-Afkar turut menjelaskan bahawa orang Islam dilarang untuk terbabit dalam program memasak nasi susu kerana ia masih dalam ruang lingkup upacara keagamaan, kerana asalnya, ia adalah makanan yang dipersembahkan untuk Dewa Surya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close