Berita UtamaUtama

Tubuh MMC tentang ikrar PH tak sekat kebebasan media

Menteri patut bantu mansuh undang-undang kuno, tidak lagi relevan

BANGI, 21 Jamadilawal 1441H, Jumaat – Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) yang dimulakan oleh kerajaan dan bukannya industri media sendiri adalah menentang ikrar Pakatan Harapan (PH) untuk tidak menyekat kebebasan media, kata Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

Beliau berkata, menteri seharusnya membantu memansuhkan segala undang-undang kuno dan tidak lagi relevan yang menghalang kebebasan akhbar di negara ini.

Malah katanya, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dari masa ke masa telah mengulangi kedudukan kerajaan untuk menegakkan kebebasan akhbar.

“Beliau berkata parti politik seharusnya tidak mempunyai sebarang kawalan terhadap badan-badan media bagi memastikan kebebasan akhbar.

“Beliau begitu naif jika percayakannya dengan apa yang telah berlaku kepada Media Prima dan pengambilalihan lesen surat khabar Utusan,” kata Johan seperti dilapor Sinar Harian.

Pada 6 Disember 2019, Jemaah Menteri setuju cadangan penubuhan MMC sebagai sebuah badan kawal-selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.

Difahamkan tujuan majlis berkenaan ditubuhkan bagi menaikkan taraf kewartawanan dan media, mengekal atau menambah baik keyakinan masyarakat terhadap media massa serta menyelesaikan pertikaian yang timbul di antara media dengan masyarakat.

Semalam, Gobind mengumumkan pelantikan seramai 17 wakil organisasi media cetak, elektronik dan dalam talian; media tempatan dan antarabangsa; kesatuan wartawan; serta wakil badan bukan kerajaan sebagai ahli jawatankuasa sementara MMC.

Pengumuman itu dibuat pada mesyuarat pelancaran penubuhan MMC yang dipengerusikannya di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya.

Dalam pengumuman berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran dipilih sebagai Pengerusi sementara MMC.

Mengulas lanjut, Johan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan bekas Pengerusi Media Prima Berhad berkata, sudah tiba masanya media di Malaysia membuktikan kawalan kendiri boleh dilakukan tanpa memerlukan rangka permit.

“Kerajaan PH perlu jelas dan menjauhi media serta memastikan media bebas dari sebarang bentuk kawalan. Mereka (kerajaan) telah melihat bagaimana media tempatan dilayan secara tidak profesional dan tidak beretika untuk menyokong pentadbiran terdahulu,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close