Berita UtamaDuniaUtama

Thailand catat kes kedua jangkitan koronavirus

Wanita berasal dari Wuhan mengalami demam panas

HANOI, 21 Jamadilawal 1441H, Jumaat – Thailand telah mencatat kes kedua jangkitan koronavirus baharu yang pertama kali dikesan di Wuhan, China, lapor agensi berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.

Pesakit terbabit berasal dari bandar Wuhan, China. Wanita berusia 74 tahun itu, yang mengalami demam panas dan denyutan jantung yang cepat, telah dikuarantin dengan segera sejurus tiba di Thailand pada Isnin.

Setiausaha Tetap Kesihatan Thailand, Sukhum Karnchanapimai, berkata, tiada penularan jangkitan itu di negara tersebut dan orang ramai tidak perlu risau.

Koronavirus baharu itu pertama kali dikesan pada akhir bulan Disember 2019 di bandar Wuhan. Setakat 12 Januari, bandar itu telah mencatat 41 kes radang paru-paru yang berpotensi dikaitkan dengan sejenis virus baharu, dengan satu kematian.

Pesakit pertama yang didiagnosis dengan virus itu di Thailand ialah seorang pelancong rakyat China berusia 61 tahun dari bandar Wuhan, yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan virus tersebut sejurus tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok pada 8 Januari dan telah dikejarkan ke hospital dengan segera.

Para pegawai kesihatan Thailand telah mempertingkat pemantauan di empat lapangan terbang yang menerima penerbangan harian dari Wuhan iaitu Suvarnabhumi, Don Mueang, Chiang Mai dan Phuket serta lapangan terbang lain yang menerima penerbangan sewa khas dari bandar itu.

Sejak 3 Januari, lebih 13,600 penumpang telah disaring semasa ketibaan, kata pegawai terbabit.

Para pegawai kesihatan turut meminta AirAsia Thailand dan China Southern Airlines, yang mengendali penerbangan harian secara terus dari Wuhan, untuk menghalang mereka yang mengalami demam panas dan gejala penyakit pernafasan daripada menaiki pesawat selain menjadualkan semula penerbangan mereka.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close