Berita UtamaUtama

Naif sungguh anggap ponggal, tanglung atas nama perpaduan

Dah tak ada kerja lain sampai nak bawa bincang mesyuarat Kabinet?

BANGI, 21 Jamadilawal 1441H, Jumaat – “Mana ada konsep dalam Islam bersyukur kepada alam semula jadi. Ini pun tak fahamkah? Kita hanya ada konsep syukur Allah yang menjadikan alam maya ini. Awal-awal lagi dah nampak perkara syirik itu.”

Demikian bidas penceramah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mengulas isu Pesta Ponggal yang sekali lagi menjadi kontroversi apabila didakwa pesta berkenaan bukannya upacara keagamaan, sebaliknya adalah pesta menuai Tamil yang diraikan semua agama.

Beliau mempersoalkan tindakan Kabinet yang membincangkan surat pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengharaman menyertai sambutan Pesta Ponggal bagi umat Islam yang tular di media sosial sejak Isnin lalu.

“Dah tak ada kerja lain ke sampai nak bawa perkara ini kepada mesyuarat Kabinet. Banyak perkara lebih penting berkaitan yang perlu dibincangkan, terutama masalah ekonomi, bukan perkara kecil seperti ponggal dan tanglung.

“Selama ini tidak pernah benda-benda kecil macam ini dibawa ke Kabinet. Peristiwa ini sudah seakan sama macam lapan menteri bawa tanglung ke sekolah aliran kebangsaan di Puchong baru-baru ini. Saya mengucap panjang. Pasal apa jadi perkara pelik-pelik sejak akhir-akhir ini,” soal beliau dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju bahawa perayaan kebudayaan harus diraikan oleh semua lapisan masyarakat Malaysia.

Keputusan itu diambil selepas timbul kebimbangan mengenai penyertaan umat Islam dalam merayakan sambutan kebudayaan masyarakat terkenal bukan Islam baru-baru ini.

Difahamkan, Jemaah Menteri, yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebulat suara bersetuju bahawa semua perayaan berasaskan kebudayaan harus diraikan dan disertai oleh rakyat Malaysia sebagai tanda sebuah masyarakat yang bersatu padu.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, hubungan umat Islam dengan Bumiputera, India, Cina dan lain-lain, tetap baik walaupun tanpa berkongsi atau menyambut perayaan mereka.

“Jika semua nak sambut, nanti Hari Wesak pun dikatakan nanti boleh disambut atas nama perpaduan. Naif sungguh permahamanan kita pasal perpaduan. Perpaduan hanya dilihat pada tanglung, Ponggal dan lain-lain

“Bagaimana dengan penghayatan agenda hidup bernegara? Seperti Perlembagaan, Rukun Negara, dasar-dasar negara, bahasa dan sebagainya. Isu utama atau masalah besar kita adalah kita tidak tahu.

“Kita tidak cuba memahami Perlembagaan dan dasar-dasar negara seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baharu, Dasar Belia Negara, dan macam-macam dasar lagi. Dasar-dasar ini jauh lebih penting dihayati daripada suruh atau paksa kita menyambut perayaan,” katanya.

Ponggal adalah perayaan sempena berakhirnya musim menuai, di mana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari. Ia bukan amalan budaya sebaliknya adalah berunsur keagamaan Hindu.

Tahun lalu, menjadi perbualan orang ramai apabila pelajar, termasuk pelajar beragama Islam di sebuah sekolah Cyberjaya, menjalani program memasak nasi susu, hingga mencetuskan kebimbangan kerana perbuatan itu adalah upacara bagi penganut Hindu berterima kasih kepada dewa.

Difahamkan, objektif program itu pada asalnya dilaksanakan bagi memperkenal budaya dan tradisi masyarakat India seperti yang terkandung dalam buku teks mata pelajaran Sivik bagi pelajar Tingkatan 3.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close