Berita UtamaUtama

Klinik kesihatan tak sesuai lokasi akan ditutup

Ada beberapa klinik tak ikut spesifikasi, gagal optimumkan kewujudan

IPOH, 21 Jamadilawal 1441H, Jumaat – Perkhidmatan klinik kesihatan yang tidak selamat dan tidak bersesuaian termasuk dari segi lokasi akan ditutup, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Bonn Chye.

Beliau berkata, terdapat beberapa klinik kesihatan dilihat tidak menepati spesifikasi dan gagal mengoptimumkan kewujudannya kerana kebiasaannya premis itu diwujudkan, jika kepadatan penduduk sekitar 10,000 ke 50,000 orang.

“Seperti Klinik Kesihatan Bijih Timah di sini, ia agak sempit dan tidak cukup ruang untuk diperkembangkan kepada perkhidmatan lain seperti menyimpan ubat dan pemeriksaan lain.

“Di sini terdapat kira-kira 528 penduduk sahaja dan klinik ini menerima kunjungan pesakit sekitar 52 orang sehari,” katanya, selepas mengadakan lawatan di Klinik Kesihatan Bijih Timah di Jalan Sultan Yusof di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Lee berkata, apabila klinik kesihatan berkenaan ditutup, pesakit dicadangkan untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan.

Beliau menjelaskan, kebanyakan klinik kesihatan dan klinik desa yang dibangunkan sekitar tahun 60an dan 70an menumpukan kawasan terpencil, tetapi kini lokasinya telah membangun selain pengangkutan yang bertambah baik.

“Untuk itu kita perlu lihat semula bagaimana menguruskan klinik di kawasan terpecil ini dan melihat pengoptimuman operasi secara keseluruhan,” katanya.

Mengenai pembukaan Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, Dr Lee berkata, ia akan mula beroperasi sepenuhnya pada Mac ini.

“Penyerahan bangunan telah diberikan pada Julai lepas dan bahagian Kardiologi telah mula beroperasi sejak Disember 2019, namun secara keseluruhannya dijangka Mac ini.

“Ketika ini masih di peringkat ‘testing and commissioning’ untuk memastikan segala yang kita peroleh berfungsi dengan baik,” katanya.

Apabila beroperasi kelak, kompleks 10 tingkat itu akan mempunyai 404 katil serta 18 bilik bersalin, enam bilik bedah serta kemudahan lain termasuk lebih 450 lot parkir untuk kereta dan motosikal.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close