Berita UtamaUtama

Cukai boleh asalkan tak bebankan rakyat: Khutbah

Islam terima sistem percukaian selagi tak bertentangan syariat

BANGI, 21 Jamadilawal 1441H, Jumaat – Islam membenarkan sesebuah kerajaan mewujudkan percukaian selagi mana dasar berkenaan menepati prinsip keadilan, melestarikan kemakmuran negara dan tidak membebankan rakyat.

Menerusi teks khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, Islam tidak menolak sistem percukaian yang telah diamalkan setiap negara selagi mana ianya tidak bertentangan dengan syariat.

Katanya, pemimpin perlu mengumpulkan sumber pendapatan negara bagi memelihara kepentingan umum negara dan rakyat, bahkan pemimpin boleh mewajibkan rakyat untuk mengeluarkan sebahagian harta mereka.

“Ini termasuklah pemimpin boleh mewajibkan rakyat membayar cukai. Dalam sejarah, kerajaan Islam telah memperkenalkan Jizyah, iaitu cukai yang dikenakan kepada golongan bukan Islam bagi melayakkan mereka untuk mendapat perlindungan dan penjagaan sama ada harta, keluarga, darah dan lain-lain.

“Begitu juga Kharaj, cukai tanah yang diperkenalkan pada zaman Saidina Umar Al-Khattab r.a dan juga ‘Usyur, iaitu cukai perdagangan. Ia berkembang seiring keperluan semasa sesebuah negara.

“Cukai hakikatnya ialah bayaran yang dibayar oleh rakyat untuk kebajikan diri mereka sendiri. Justeru ia secara tidak langsung adalah suatu bentuk kerjasama antara rakyat dengan kerajaan untuk kepentingan bersama,” katanya.

Justeru, sebagai warganegara yang prihatian, kita mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan ibadah zakat untuk kelangsungan ekonomi umat Islam.

“Kita juga bertanggungjawab kepada negara melalui pembayaran cukai sama ada cukai pendapatan, cukai perdagangan dan sebagainya.

“Ini kerana kitaran ekonomi yang positif, adil, saksama dan kondusif akan menjadikan umat Islam sebagai umat yang berkemampuan di samping menjamin Maqasid al-Syariah dalam aspek memelihara harta,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close