Berita UtamaPendapatUtama

Mujahid bergambar, tersenyum jika non-muslim cetus provokasi

Isu Dr Zakir, Adib, Uyghur, Dong Zong selesai dengan 'cemerlang'

SETIAP kali ada kumpulan, individu atau pertubuhan bukan-Islam mencetuskan provokasi sensitif dan menimbulkan kemarahan umat Islam, Menteri Agama akan turun padang, berjumpa dan bergambar beramai-ramai sambil tersenyum sengih memandang kamera.

Seolah-olah semua kontroversi, sensitiviti, provokasi dan keceluparan yang menyasarkan umat Islam akan segera hilang dan selesai sebaik-baik sahaja Menteri Agama hadir dan melangkah masuk.

Mantra Rahmatan Lil Alamin selalu diseru sebagai “backdrop” kepada penyelesaian yang dirangka oleh Menteri Agama itu.

Sementara pihak yang mencetuskan masalah diberi pembelaan, umat Islam pula sering dipersalahkan, hanya kerana mereka bangkit bersuara dan menentang perlecehan dan keceluparan terhadap agama Islam.

Bukan sekali hati umat Islam dihiris tajam dengan siri drama yang sentiasa memenangkan antagonis bukan-Islam silih berganti.

Dari episod Ramasamy dengan tuduhan liarnya terhadap Dr Zakir Naik, isu AlifJimBata Encik Nisha Ayub, kes pembunuhan Allahyarham Muhammad Adib, serbuan khalwat, Kem Tahanan Uyghur dan Dong Zong. Semuanya “berjaya” diselesaikan dengan begitu “cemerlang” sekali.

Bagaimanapun, semua isu yang senada di atas tetap tidak hilang dari radar umat Islam, malah ia telah menjadi duri dalam tubuh umat Islam sejak sebelum perlantikan Menteri Agama lagi.

Ia tetap akan menjadi gangguan-gangguan kepada Islam untuk masa-masa akan datang, dalam pelbagai bentuk, identiti, warna dan agenda.

Kita boleh faham bahawa pendekatan yang diambil oleh Menteri Agama itu adalah berdasarkan kefahaman beliau sendiri, dengan menjadikan gagasan Rahmatan Lil Alamin sebagai sandaran hujah dan model Fiqh Malaysia sebagai kerangka rujukan.

Perlu ditegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh Menteri Agama itu tidak semestinya melambangkan pendirian umat Islam seluruhnya.

Ia mungkin munasabah dan sesuai dengan kecenderungan politik kepartian yang dipegangnya atau yang diikuti oleh para pengikut beliau.

Tidak ada siapa boleh mendakwa memiliki monopoli atas kefahaman sebenar terhadap Islam.

Bagaimanapun, sejarah dan tradisi perjuangan umat Islam sejak zaman berzaman menunjukkan umat Islam tidak pernah tunduk kepada kesombongan dan keangkuhan pihak musuh, sekiranya mereka berharap untuk kekal di atas jalan kebenaran.

Kompromi dan tolak ansur hanyalah nama lain kepada kekalahan jiwa, kedayusan dan penggadaian prinsip.

Kuasa yang dipegang sepatutnya berfungsi sebagai pelaksanaan amanah dan pemangkin kepada usaha-usaha melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar, bukannya sebagai wasilah untuk melonglaikan kedaulatan Islam.

Mudah-mudahan Menteri Agama diberi ilham untuk mengembalikan kemuliaan dan dominasi Islam dalam situasi, dimana kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan pun sedang dicabar dan terancam hari ini.

Satu tindakan mulia untuk mempertahankan Islam akan dikenang oleh umat Islam sampai bila-bila.

Mohd Lutfi Abdul Khalid

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close