Berita PilihanKata PedangUtama

Dong Jiao Zong takutkan Tun M?

Mula kendurkan tekanan bimbang peruntukan pendidikan Cina dipotong

SUKAR untuk percaya kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, kononnya Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) bersetuju pembelajaran jawi bukan bertujuan untuk ‘mengislamkan’ murid non muslim.

Lebih mengejutkan apabila pertubuhan radikal itu secara tiba-tiba mengiktiraf tulisan jawi yang selama ini mereka tentang habis-habisan sebagai warisan kebudayaan Malaysia yang perlu dihormati.

Pedang tersentak, Mujahid boleh pula menjadi jaguh mempertahankan Dong Jiao Zong? Naik pening Pedang dengan sikap menteri agama ini. Dulu masa puak-puak ini menentang senyap seribu bahasa. Sekarang sibuk jadi hero mereka. Mana maruah beliau?

Nada tersebut nyata berbeza dengan ucapan Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng yang sebelum ini berkata, komuniti Cina khuatir pengenalan jawi mempunyai unsur Islamisasi yang berupaya mempengaruhi  pelajarnya.

Kenyataan Chai Heng pada ketika itu mengundang polemik, ekoran banyak bantahan dikemukan dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan perkara itu tidak sewajarnya diucapkan oleh rakyat Malaysia yang selama ini hidup secara aman dalam kepelbagaian agama, bangsa dan bahasa.

Sehinggakan ada di antara NGO khususnya gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mendesak, supaya pertubuhan radikal Cina berkenaan diharamkan daripada terus menghasut rakyat di negara ini.

Sejenak terngiang kata-kata Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya di benak fikiran Pedang yang masih tidak percaya bagaimana begitu cepat Dong Jiao Zong berubah fikiran.

Haji Aminuddin berkata, terdapat dua kemungkinan berhubung kenyataan Dong Jiao Zong semalam iaitu sama ada Mujahid ditipu atau rakyat diperbodohkan.

Walaupun, ia hanya sekadar andaian namun bagi Pedang kedua-dua kemungkinan yang diberikan jika benar-benar berlaku hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Namun begitu, ada juga menyatakan Dong Jiao Zong berubah sebegitu rupa dek kerana penangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menggalas tugas sebagai pemangku menteri pendidikan bagi menggantikan Dr Maszlee Malik yang beliau sendiri arahkan supaya berundur.

Perkara berkenaan ada logik juga, ini kerana pada ketika para pemimpin kerajaan lain menyimpan ‘kuku’ berhubung tulisan jawi, Dr Mahathir dengan lantang menggelar pertubuhan radikal Cina itu sebagai rasis.

Dakwaan keras Dr Mahathir langsung tidak dibalas dengan sebarang kenyataan oleh Dong Jiao Zong, jadi apakah mereka sebenarnya `takut’ kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Terbaharu, ucapan Presiden MCA, Datuk Seri We Ka Siong yang sangat berharap, dana pendidikan Cina kembali kepada normal setelah Dr Mahathir menjadi pemangku menteri pendidikan sebagai sindiran kepada Pakatan Harapan (PH) yang berniat mengambil Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) perlu diambil perhatian.

Sindiran Ka Siong dibuat berasaskan sekeping gambar yang dimuat naik bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai Superman Hew berkenaan peruntukan kepada pendidikan Cina yang meningkat secara drastik saban tahun dari 2018 sehingga 2020 sejak berada di bawah pimpinan PH.

Berdasarkan gambar berkenaan, peruntukan kepada sistem pendidikan Cina meningkat di bawah PH berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) di mana sekolah Cina swasta turut menerima manfaat berbanding hanya sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) sahaja sebelum ini.

Jadi dalil yang mengatakan Dong Jiao Zong berlembut kerana bimbang peruntukan pendidikan Cina dipotong kerana ketegasan Dr Mahathir ada kebenarannya.

Jadi, kita kini sudah temui ramuan dalam mengekang kesombongan Dong Jiao Zong iaitu perlukan kepada seorang pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan atau desakan dalam menjalankan tugas sebagai menteri pendidikan.

Kata Pedang: Menteri agama tunjuk hero pertahan Dong Jiao Zong. Kasihan nasib Melayu, Islam dapat pemimpin seperti ini…

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close