Berita UtamaDuniaUtama

Rohingya: ICJ umum keputusan langkah kecemasan minggu depan

Gambia failkan kes bagi pihak 57 negara OIC

BANJUL (Gambia), 19 Jamadilawal 1441H, Rabu – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), akan mengeluarkan keputusan ke atas permintaan untuk mengambil tindakan kecemasan dalam kes genosid terhadap etnik minoriti Rohingya pada 23 Januari depan, kata Kementerian Keadilan di Gambia.

Negara Afrika Barat yang majoriti penduduknya adalah orang Islam memfailkan tuntutan itu pada bulan November lalu, mendakwa Myanmar telah melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ terhadap penduduk minoriti muslim Rohingya.

Gambia mendakwa, Myanmar melanggar Konvensyen Pembunuhan Beramai-ramai PBB 1948 dalam kempen ketenteraan yang mengusir lebih daripada 730,000 Rohingya dari negara itu.

Ia meminta ICJ untuk memerintahkan ‘langkah sementara’ bagi mencegah lebih banyak kecederaan, langkah pertama dalam kes undang-undang yang dijangka berterusan selama bertahun-tahun.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, mengembara ke The Hague bulan lalu untuk mempertahankan negaranya, membantah dakwaan itu.

Beliau menafikan bahawa pembunuhan beramai-ramai berlaku dan berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu.

Suu Kyi, yang pernah disanjung negara Barat kerana perjuangannya berdemokrasi selama puluhan dekad untuk Myanmar berkata, pihaknya ada menyiasat dan mendakwa tentera dan pegawai yang dituduh melakukan jenayah.

Beliau berkata, bahawa dalam keadaan itu, mahkamah tidak harus campur tangan.

Bagaimanapun, Gambia membuat tuntutan undang-undang selepas mendapat sokongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang mempunyai 57 negara anggota. 

Hanya satu negara yang boleh memfailkan kes terhadap negara lain di ICJ.

Gambia menyatakan bahawa Myanmar tidak boleh dipercayai untuk membawa pelaku tuduhan jenayah terhadap etnik Rohingya ke muka pengadilan.

Ia telah meminta mahkamah memerintahkan langkah-langkah sementara untuk Myanmar menghentikan tindakan ketenteraan, yang menjurus kepada jenayah terhadap Rohingya termasuk membunuh, memperkosa dan memusnahkan rumah dan kampung.

Gambia juga meminta hakim untuk memerintahkan Myanmar supaya memastikan sebarang bukti kekejaman dipelihara.

Keputusan ICJ adalah mengikat dan tidak tertakluk kepada rayuan, walaupun mahkamah tidak mempunyai cara penguatkuasaan dan negara kadang-kala diabaikan atau gagal mematuhi sepenuhnya kepada mereka. 

Myanmar menganggap Rohingya sebagai pendatang haram walaupun etnik terbabit tinggal di negara berkenaan sejak beberapa generasi dulu sehingga berlakunya keganasan di wilayah Rakhine yang menyasarkan etnik terbabit pada 2012.

Keganasan yang memuncak memaksa ribuan etnik Rohingya menjadi pelarian meninggalkan Myanmar melalui laluan laut menuju ke Thailand, Malaysia dan Indonesia. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close