Berita UtamaUtama

Pesta Ponggal: Ramasamy gagal fahami budaya, agama lain

Haram bagi umat Islam rai perayaan keagamaan bukan muslim

BANGI, 18 Jamadilawal 1441H, Rabu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mengecam tindakan P Ramasamy yang mengkritik arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada semua sekolah untuk melarang pelajar Islam menyertai Pesta Ponggal.

Ketua Wanita Berjasa, Azizah Che Awang berkata, perkara sebegini melihatkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu dan sesetengah pemimpin serta ahli politik masih gagal memahami budaya dan agama masyarakat lain, namun beria-ria mahu budaya mereka difahami.

“Seharusnya Ramasamy tak perlu pun nak kecoh-kecoh kerana tahun lepas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan artikel yang mengatakan bahawa haram bagi umat Islam meraikan perayaan keagamaan bukan muslim dan Pesta Pongal pula memang terdapatnya unsur-unsur keagamaan dalam sambutannya.

“Jadi selaku rakyat Malaysia yang sudah lama berasimilasi dengan masyarakat muslim Malaysia, beliau seharusnya faham dan sedar mengenai kekangan yang dialami oleh masyarakat muslim terutamanya pelajar di sekolah yang jelas tidak boleh turut serta dalam upacara keagamaan tersebut,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, KPM mengeluarkan surat pekeliling berhubung perayaan Pesta Ponggal, bagi mengurangkan kebimbangan pihak ibu bapa murid beragama Islam dalam pembabitan anak mereka ketika sambutan perayaan itu dan ia bukan halangan untuk diadakan di sekolah.

Pekeliling itu turut menggariskan beberapa syarat yang digariskan oleh Jakim seandainya umat Islam turut sama hadir dalam perayaan Pesta Ponggal itu.

Bagaimanapun, Jakim hari ini menegaskan, pihaknya hanya memberikan pandangan berkenaan penyertaan umat Islam dalam sambutan Pesta Ponggal serta tidak menghalang ia dilaksanakan.

Ponggal adalah perayaan sempena berakhirnya musim menuai, di mana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari. Ia bukan amalan budaya sebaliknya adalah berunsur keagamaan Hindu.

‘Al-Afkar #39: Muslim menyertai pesta Ponggal’ terbitan Mufti Wilayah Persekutuan, menjelaskan bahawa secara asasnya umat Islam adalah dilarang menghadiri dan menyertai pesta Ponggal yang disambut dalam kalangan masyarakat beragama Hindu kerana ia adalah perayaan keagamaan.

Al-Afkar turut menjelaskan bahawa orang Islam dilarang untuk terbabit dalam program memasak nasi susu kerana ia masih dalam ruang lingkup upacara keagamaan, kerana asalnya, ia adalah makanan yang dipersembahkan untuk Dewa Surya.

Berhubung isu sama, Azizah berkata, Ramasamy tidak seharusnya terkejut atau mempersoalkan sekiranya ada larangan daripada pihak agama Islam kepada pelajar muslim terutamanya untuk tidak menyertai acara tersebut.

“Lagi pula, kementerian pun telah mengeluarkan garis panduan kepada pelajar muslim sekiranya perlu menyertai aktiviti yang dianggap silang budaya ini,” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close