Berita UtamaUtama

Pelajari jawi tidak semesti ada kaitan dengan Islam, Melayu

Skrip Arab disebut Arwi dalam bahasa Tamil, jawi bagi Melayu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 19 Jamadilawal 1441H, Rabu – Kelebihan mempelajari tulisan jawi membolehkan seseorang memahami struktur serta kaedah tulisan berkenaan sekali gus menambahkan pengalaman dan kemahiran, kata Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Beliau berkata, apabila orang Islam mahupun bukan Islam mempelajari tulisan jawi, mereka akan sedar bahawa skrip jawi berbeza dari segi struktur dan arah penulisan skrip rumi.

“Mana-mana pendekatan untuk belajar sesuatu skrip memberi kebaikan dan kelebihan. Kita belajar jawi tidak semestinya kita belajar bahasa Melayu, tetapi kita juga belajar cara menulis dan sebutan. Skrip jawi bermula dari kanan ke kiri bukan sebaliknya seperti skrip Latin atau skrip Eropah yang lain.

“Selain itu, perkara ini juga ada signifikan kognitif kepada individu yang belajar.

“Skrip Cina, Jepun dan Korea umumnya dari atas ke bawah. Ini semua struktur-struktur memahami abjad serta skrip dalam pelbagai budaya. Justeru, apabila bukan muslim mempelajari jawi, mereka akan berfikir bahawa ia sama seperti mempelajari skrip Jepun, Thailand malah Tamil.” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Murad menegaskan, skrip jawi tidak semestinya dikaitkan dengan bangsa Melayu kerana ia turut digunakan oleh masyarakat Urdu, Parsi, Tamil serta Swahili – semua bahasa ini menggunakan abjad Arab.

Beliau menjelaskan, skrip Arab dalam bahasa Melayu dipanggil jawi manakala, dalam bahasa Tamil yang digunakan oleh Tamil muslim di Tamil Nadu dan Sri Lanka disebut sebagai Arwi.

“Apabila kita mempelajari jawi, tidak semestinya ada kaitan dengan Islam. Jika kita lihat rakyat Arab yang beragama Kristian, mereka menulis dalam skrip Arab. Rakyat Iran bukan Islam seperti Majusi, jika mereka bercakap menggunakan bahasa Parsi, mereka juga menggunakan skrip Arab.

“Jika kita lihat secara objektif, tidak semestinya skrip jawi itu dikaitkan dengan agama Islam. Sama juga seperti skrip Cina (bahasa Mandarin) digunakan untuk menterjemah al-Quran.

“Malah, skrip Tamil juga digunakan untuk menterjemah al-Quran. Kebiasaannya skrip Tamil kita kaitkan dengan budaya Tamil dan agama Hindu. Namun, jutaan penutur bahasa Tamil di India mahupun Malaysia ada yang beragama Islam,” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close