Berita PilihanBerita UtamaUtama

Operator kilang, teman lelaki ditahan kes kematian kanak-kanak

Terdapat kesan lebam, gigitan di bahagian kedua-dua tangan mangsa

JOHOR BAHRU, 19 Jamadilawal 1441H, Rabu – Polis menahan seorang wanita yang bekerja sebagai operator kilang dan teman lelakinya bagi membantu siasatan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang disyaki didera.

Ketua Polis Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata wanita berusia 22 tahun itu yang merupakan ibu mangsa dan teman lelakinya, 33, ditahan pada pukul 3.45 petang tadi.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada pukul 12.10 tengah hari di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini semalam dan pada Ahad lepas ibu mangsa telah membawa kanak-kanak berkenaan untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami jangkitan kuman, katanya menerusi satu kenyataan, di sini, malam ini.

Mohd Taib berkata kematian kanak-kanak itu disyaki mempunyai unsur penderaan berdasarkan beberapa siri kecederaan yang dialami mangsa.

“Hasil pemeriksaan fizikal yang dilakukan pegawai perubatan mendapati terdapat kesan-kesan lebam di bahagian tangan kiri dan kanan serta bahagian perut.

Selain itu terdapat juga kesan gigitan di bahagian tangan kiri dan kanan mangsa,” katanya lagi.

Beliau berkata, hasil bedah siasat ke atas kanak-kanak berkenaan mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan pada bahagian tengkorak dan usus mangsa akibat hentakan objek tumpul.

Mohd Taib berkata berdasarkan laporan bedah siasat, pihaknya percaya kematian mangsa adalah berunsurkan jenayah.

Hasil siasatan mendapati ibu mangsa dan teman lelaki yang tidak bekerja itu, telah menyewa bersama di sebuah bilik pangsapuri dekat Kempas sejak setahun lepas.

“Mangsa juga didapati dijaga oleh lelaki berkenaan apabila ibunya bekerja,” katanya.

Mohd Taib berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close