Berita UtamaUtama

MP PKR mahu Mei 2020 tarikh peralihan kuasa PM

Bantu Anwar lebih masa lancar reformasi seperti yang dijanji PH

BANGI, 18 Jamadilawal 1441H, Selasa – Satu tarikh khusus perlu ditetapkan untuk peralihan kuasa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara berkenaan dituntut oleh Ahli Parlimen PKR, selain mencadangkan Mei 2020 adalah masa sesuai, bertepatan dengan tempoh dua tahun Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menekankan beberapa sebab mengapa peralihan kuasa itu perlu segera dilaksanakan.

Chen berkata, ketidakpastian tarikh peralihan kuasa telah mengakibatkan para pelabur menangguhkan masa pelaburan kerana tidak yakin dengan masa depan politik jangka pendek negara.

“Jika PM menetapkan tarikh serahan kuasa, ini akan membuatkan pelabur tempatan berasa yakin untuk melabur dalam negara, pelabur pada Pakatan Harapan (PH).

“Dari segi ekonomi, terdapat hujah yang jelas bahawa kita perlu mempunyai kejelasan dan kepastian dalam tempoh peralihan, dan mood (jika) lebih cepat lebih baik,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Pada masa sama, Chen menegaskan bahawa peralihan kuasa dengan kadar segera akan memberi Anwar lebih masa untuk melancarkan reformasi yang patut dikotakan PH.

Katanya, perkara berkenaan juga akan memberi manfaat kepada kelangsungan politik PH pada Pilihan Raya Umum akan datang, kerana pengundi akan dapat merasai manfaat pembaharuan pada masa itu.

“Perkara utamanya ialah Pakatan Harapan, khususnya sewaktu majlis presiden, perlu membuat keputusan sekarang dan mengadakan perbincangan terbuka dengan Mahathir dan juga Anwar mengenai tarikh peralihan yang jelas.

“Demi perpaduan PH, dan kesepakatan mereka (pada tarikh peralihan yang ditetapkan nanti), ia harus dihormati oleh semua pihak dan kita harus mempersiapkan peralihan kuasa pada Mei 2020,” katanya.

Terdahulu, Anwar mahu tarikh khusus pelan peralihan kuasa dibincangkan, berikutan wujud kebimbangan terdapat percubaan luar untuk menggugat keputusan awal melantik beliau sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Presiden PKR itu yakin Mesyuarat Majlis Presiden PH akan membincangkan tarikh khusus peralihan kuasa daripada Dr Mahathir.

Dr Mahathir sebelum ini mengumumkan peralihan kuasa kepada penggantinya akan dilaksanakan selepas berakhir Sidang Kemuncak Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020, akhir tahun ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close