Berita UtamaDuniaUtama

Iran tahan suspek kes tembak pesawat Ukraine

Tubuh mahkamah khas diketuai hakim kanan dakwa pihak terbabit

TEHRAN, 18 Jamadilawal 1441H, Selasa – Pihak berkuasa Iran, telah menahan beberapa suspek, yang dipercayai terbabit dengan nahas pesawat penumpang Ukraine yang terhempas minggu lalu, kata jurucakap suruhanjaya kehakiman negara itu, pada Selasa.

Suspek ditahan “kerana mempunyai kaitan dengan nahas pesawat,” kata Ghulam Hussein Ismaili lapor Press TV.

Suspek ditahan, selepas Presiden Iran, Hassan Rouhani mengarahkan penubuhan sebuah “mahkamah khas diketuai seorang hakim kanan” untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab atas tragedi itu.

Iran sebelum ini, mengakui pihak tentera telah secara ‘tidak sengaja’ menembak jatuh pesawat penumpang itu dan mengatakan ia sebagai “kesilapan manusia”.

Nahas berlaku beberapa jam, selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke atas kawasan perumahan tentera Amerika Syarikat (AS), di pangkalan tentera udara Iraq, sebagai tindak balas terhadap kematian komander tertinggi tentera elit Iran Qassem Soleimani yang terbunuh dalam serangan dron oleh AS berhampiran lapangan terbang Baghdad, pada 3 Januari.

Pesawat penumpang Ukraine, jenis Boeing 737-800 itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini Tehran. Kesemua 176 penumpang termasuk sembilan anak kapal terkorban.

Mangsa termasuk warga Iran seramai 82 orang, Kanada (63), Ukraine (11), Sweden (10), Afghanistan (empat), Britain (tiga) dan Jerman (tiga).- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close