Berita Utama

Hina Islam: Wanita mengaku bersalah didenda RM8,000

Muat naik hantaran komunikasi jelik di Facebook, dua tahun lalu

BANGI, 14 Muharram 1444H, Jumaat – Seorang wanita berbangsa Cina didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah menghina Islam menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook, dua tahun lalu.

Hong Jia Ming yang bekerja sebagai perunding syarikat swasta membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Hasniah AbRazak.

Jia Ming yang juga seorang ibu tunggal turut diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan fakta, wanita berusia 34 tahun itu secara sedar membuat penghantaran komunikasi jelik menerusi perkhidmatan aplikasi web profil Joyceanne Hong pada 9.33 malam, 12 Mac 2020.

Hantaran itu menyebut ‘How many idiots got brain damage thinking their gatherings prayers will keep them away from COVID-19’ (Berapa ramai orang bodoh yang rosak otak beranggapan bahawa solat yang didirikan akan menjauhkan mereka daripada COVID-19) dengan perkataan ‘so stupid’ dan ‘support them’ (amat bodoh dan sokong mereka) dalam kotak undian.

Perbuatan berkenaan dilakukan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang kemudian dibaca pada 12.41 tengah hari, 13 Mac 2020 di Masjid Muadz Jabal di Wangsa Maju oleh pengadu yang menerima hantaran mesej berkaitan hantaran itu menerusi kumpulan sembang WhatsApp tempat kerjanya.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntuk denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya selain boleh didenda RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Jia Ming.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Haijan Omar memohon supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum dengan mengambil kira status tertuduh sebagai seorang ibu tunggal yang mempunyai tanggungan anak lelaki berusia sembilan tahun.

Selain itu wanita berkenaan turut mengalami masalah penyakit jantung dan bekerja sebagai perunding swasta berpendapatan RM12,000 sebulan.

Semasa dalam proses rayuan, tertuduh mengaku menyesal dengan perbuatannya dan mengakui hantarannya di Facebook itu mencetuskan salah faham dan menyinggung perasaan bekas rakan sekerjanya.

Wanita berkenaan juga mengakui perbuatan yang dilakukan itu memberi pengajaran dan berjanji lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan pada masa hadapan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button