Berita UtamaUtama

Dilanda kesempitan hidup, murid tahun satu tiada uniform sekolah

Ayah dan ibu hanya jual buah di Kuala Krai untuk sara 14 sekeluarga

GUA MUSANG, 18 Jamadilawal 1441H, Selasa – Tatkala murid-murid lain teruja memulakan sesi persekolahan dengan memakai uniform baharu, seorang murid tahun satu berhadapan detik menghibakan, apabila tidak senasib dengan kanak-kanak seusia dengannya.

Dek kerana dihimpit kemiskinan, Intan Safira Mohd Shukri, 7, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Teroh, di sini, terpaksa hadir ke sekolah, semalam tanpa memakai uniform.

Sinar Harian melaporkan bahawa kanak-kanak dari Taman Agropolitan Rantau Manis yang baru mendaftar ke sekolah Ahad lalu hanya memakai blaus labuh berwarna merah jambu dan bertudung.

Pada masa sama, dua kakak Intan iaitu Nor Sofia, 8, dan Nor Balkis, 10, beserta abangnya, Mohamad Atiq, 12, turut bersekolah di tempat sama, manakala kakak mereka, Nor Awanis, 14, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap.

Keempat-empat adik beradik Intan juga tidak ketinggalan mengalami nasib hampir sama denganya apabila mengenakan uniform sekolah lusuh kerana tidak mampu membeli pakaian baharu.

Keluarga ini mempunyai 12 adik beradik iaitu Mohamad Zikri Shah, 20; Nor Izzati, 19; Mohamad Haris, 17; Nor Hafiza, 15; Nor Awanis, 14; Mohamad Atiq, 12; Nor Balkis, 10; Nor Sofia, 8; Intan Safira, 7; Puteri Ramizan, 5, serta pasangan kembar, Amirul Azhar dan Amirul Hakim, 2.

Kemiskinan yang dihadapi turut memaksa dua daripada 12 beradik itu, Mohamad Haris dan Nor Hafiza keciciran pelajaran dan tidak bersekolah kerana menguruskan adik-adik di rumah yang masih kecil.

Sementara itu, Nor Hafiza berkata, ibu bapanya yang keluar bekerja di Kuala Krai sebagai penjaja buah-buahan menyebabkan dia berkorban menjaga adik-adik di rumah.

“Ibu ayah turun dari rumah pada jam 7 pagi ke Kuala Krai untuk bekerja. Upah menjual buah hanya mampu menyara kami 14 sekeluarga.

“Saya tidak dapat ke sekolah kerana tiada siapa yang jaga adik-adik di rumah. Empat adik beradik yang sekolah dibekalkan duit belanja RM2 seorang.

“Tahun ini tiada yang dibeli baju baharu. Masing-masing pakai mana ada sahaja,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close