Berita Utama

JAINJ, PDRM buru pengikut ajaran sesat ‘Si Hulk’ hina Nabi

Amaran keras hentikan penyebaran video hina Islam

ISKANDAR PUTERI, 28 Syaaban 1444H, Selasa – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang mengesan pengikut kumpulan ajaran sesat ‘Si Hulk’ yang menyebarkan video menghina Islam dan Nabi Muhammad ﷺ.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, JAINJ bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari pelaku tersebut.

Ini susulan laporan yang diterima berhubung penularan video berkenaan di TikTok sejak Isnin.

“Di dalam video tular, dengar seperti mereka sebut Syiah tetapi ia adalah Si Hulk. Penyebaran video tular mengenai ajaran Si Hulk ini memberi gambaran ajaran sesat ini masih ada pengikut setia walaupun sudah diharamkan dua tahun lalu.

“Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada pelaku di dalam video terbabit dan mana-mana pihak agar menghentikan penyebaran ajaran sesat ini. 

“Jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Tegasnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Julai 2021, memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaini Bin Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

Dalam pada itu, Mohd Fared memberitahu, sekurang-kurangnya 21 ajaran sesat dikesan di Johor.

Beliau berkata, kesemua ajaran sesat berkenaan telah diletakkan dalam senarai fatwa dan warta berkaitan akidah di negeri ini.

Antara ajaran sesat yang disenaraikan ialah ajaran Ismail Arifin@lepat, fahaman Hizbut Tahrir, ajaran Azman Samat, ajaran Millah Abraham dan kumpulan Layar Bahtera.

Beliau menegaskan, mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat itu.

“Justeru, fahaman dan ajaran sesat hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Johor dan mana-mana orang Islam yang terbabit dengan ajaran ini hendaklah bertaubat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button