Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaUtama

Texas tolak kehadiran pelarian

Ia adalah manifesto Trump dalam Pemilihan Semula Pilihan Raya 2020

WASHINGTON, 17 Jamadilawal 1441H, Isnin – Pelarian di Amerika Syarikat (AS) menerima tamparan hebat apabila Gabenor Texas, Greg Abbott menjadi gabenor pertama menolak kehadiran golongan pelarian di negara ini, selepas perkara berkenaan dipersetujui presiden, Donald Trump.

Abbott yang juga anggota parti Republik, dalam sepucuk surat kepada White House berkata, pada masa ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berasaskan keuntungan menggalas tanggungjawab melakukan kerja amal terhadap pelarian, pendatang tanpa izin dan gelandangan.

Abbott sebelum ini juga cuba untuk menghentikan kemasukan pelarian, di mana pada tahun 2015, beliau mengisytiharkan bahawa Texas tidak akan mengalu-alukan kedatangan rakyat Syria akibat serangan maut di Paris.

Ketika itu, bekas presiden, Barack Obama yang membawa masuk para pelarian ke Texas dan negara-negara lain ditentang oleh kumpulan diketuai oleh gabenor dari parti Republik itu.

Setakat ini, seramai 41 gabenor – 18 daripadanya adalah anggota parti Republik – dan kira-kira tujuh pegawai tempatan telah bersetuju untuk membina penempatan semula para pelarian, menurut sebuah agensi penempatan semula Lutheran Immigration and Refugee Service.

Florida dan Georgia adalah negeri yang menerima pelarian teramai, namun gabenornya masih belum menetapkan pendirian mereka mengenai isu itu.

Pejabat Gabenor di Florida berkata, ia masih mengkaji isu berkenaan, manakala Georgia enggan mengulas lanjut.

Penolakan kehadiran pelarian adalah salah satu manifesto Trump dalam Pemilihan Semula Pilihan Raya 2020.

Pada Januari 2017, Trump telah mengeluarkan satu perintah mengarahkan jumlah maksimun para pelarian di negara itu iaitu seramai 50,000 orang.

Sejak dari itu, jumlah pelarian telah dikurangkan setiap tahun.

Trump menetapkan jumlah kemasukan pelarian hanyalah seramai 18,000 orang untuk tahun ini, paling rendah sejak program pelarian moden bermula pada tahun 1980.

Sebelum ini, Obama mencadangkan jumlah penempatan semula pelarian seramai 110,000 orang pada tahun 2017. -Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close