Berita UtamaPendapatUtama

Tolak undang-undang murtad satu pemikiran liberal

G25 perlu dalami Islam, bukan tafsir ikut kehendak akal

KENYATAAN G25 menyerlahkan cara berfikiran liberal yang amat jelas, apabila mereka mengatakan keputusan seorang Islam untuk keluar agamanya antara individu itu dengan tuhan.

Ia adalah kebebasan berfikir yang melampau apabila mengatakan manusia bebas melakukan apa sahaja ikut kehendak hati, tanpa terikat dengan undang-undang.

Sedangkan kehidupan seharian kita pun penuh dengan undang-undang. Berada di atas jalanraya juga perlukan undang-undang.

Adakah kita bebas untuk memandu mengikut kehendak hati ketika di atas jalanraya?

Islam meletakkan undang-undang supaya kehidupan manusia lebih tersusun dan terurus. Sepertimana dalam kehidupan biasa yang perlukan undang- undang.

Maka, undang-undang murtad yang Islam letakkan adalah untuk menjaga kedaulatan Islam serta kestabilan masyarakatnya.

Bayangkan sekiranya tiada undang-undang murtad, sesiapa akan mudah-mudah untuk menukar agama selepas ia Islam.

Ini mencemarkan kedaulatan dan kesucian Islam serta menyebabkan masyarakat huru hara.

Di antara perkara dharuri dalam maqasid syariah adalah memelihara kesucian agama Islam atau lebih dikenali dengan konsep hifz al-din atau menjaga agama.

Oleh kerana jenayah murtad adalah salah satu perkara yang menyentuh persoalan akidah, maka ia amat berkait rapat dengan konsep hifz al-din.

Ini kerana hifz al-din membawa makna memelihara kesucian agama Islam dengan memastikan ia didaulatkan dan diamalkan, serta dilindungi daripada sebarang bentuk pencemaran dan melaksanakan usaha pencegahan secara berterusan bagi mengelakkan para pengikutnya dari meninggalkan Islam.

Kumpulan ini turut memberikan tafsiran yang salah pada ayat al-Quran yang bermaksud “Tiada paksaaan dalam agama.”

Ayat itu bukanlah bermaksud kita bebas untuk keluar Islam dan memeluk agama apa sahaja.

Akan tetapi, ayat itu bermaksud tiada paksaan untuk seseorang itu untuk memeluk Islam kerana telah jelas tentang kebenaran tauhid agama Islam ini.

Tidak perlu kepada paksaan untuknya memeluk Islam bukannya tidak ada paksaan untuk keluar Islam.

Namun demikian, setelah ia menjadi seorang Islam ia terikat dengan undang-undang yang telah Allah SWT tetapkan.

Antaranya adalah undang-undang murtad. Maka ia tidak boleh sewenang-wenangnya untuk keluar dari Islam setelah ia menganutinya.

Mengapakah kumpulan ini terlalu pesimis dengan Islam? Mengapakah mereka tidak melihat bahawa Allah telah meletakkan sebaik-baik peraturan untuk hambaNya kerana Allah itu Maha Mengetahui?

Wanita ISMA menasihatkan kepada kumpulan G25 untuk mempelajari agama dengan lebih mendalam dengan berguru melalui guru-guru yang bertauliah, bukannya mentafsirkan agama ikut kehendak masing-masing.

Ustazah Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close