Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

Ceroboh perairan ASEAN, China makin biadab

Negara Asia Tenggara perlu bersatu, tak tunduk ancaman Pen'China'an

BANGI, 15 Jamadilawal 1441H, Sabtu – Kehadiran kapal nelayan China dalam beberapa siri pencerobohan ke kawasan perairan negara-negara ASEAN menyerlahkan kebiadaban negara tembok besar itu.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Zainur Rashid Zainuddin berkata, perkara berkenaan semakin menjadi-jadi setelah mereka didapati mengguna pukat harimau sambil diiringi kapal perang China.

“Ini hanyalah satu daripada puluhan petanda tidak sihat kesan daripada keangkuhan China.

“Semoga pemimpin Malaysia dan negara-negara ASEAN bersatu suara dan tidak tunduk dengan ancaman Pen’China’an Asia Tenggara terutamanya Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

ASEAN yang ditubuhkan pada tahun 1967 adalah sebuah pertubuhan serantau yang mempunyai pengaruh signifikan terhadap kestabilan di rantau Asia Tenggara.

Ia dianggotai oleh lapan buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Myanmar, Laos dan Kemboja.

Terdahulu, Indonesia telah mengerahkan empat kapal perang tambahan ke kepulauan Natuna berhampiran kawasan pertikaian di Laut China Selatan, selepas Beijing enggan meninggalkan kawasan berkenaan.

Pegawai Hal Ehwal Awam dengan Kawalan Armada Pertama Tentera Laut Indonesia, Komander Fajar Tri Rohadi dipetik sebagai berkata, pihaknya juga telah mengerahkan ratusan anggota keselamatan menjaga kawasan itu.

Puluhan bot nelayan China didakwa memasuki perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Natuna pada bulan lalu.

Komander Rohadi berkata, Badan Keamanan Laut Indonesia (BAKAMLA) turut meronda di kawasan itu.

“Mereka sudah menghampiri bot nelayan tersebut dengan berkomunikasi menerusi radio. Kami mahu ia tinggalkan kawasan itu. Mereka menangkap ikan secara haram. Kami berharap mereka memahami undang-undang Indonesia. Ia adalah hak kedaulatan negara ini,” tegasnya.

Difahamkan, bot nelayan China itu terdapat di kira-kira 30 lokasi dan setiap daripadanya menempatkan sehingga dua bot manakala tiga kapal peronda pantai Beijing turut kelihatan di kawasan itu.

Sebelum ini, China menegaskan perairan Natuna adalah kawasan tangkapan ikan turun-temurun untuk nelayan mereka.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close