Berita UtamaIstimewaUtama

‘Kenapa menteri tak bersungguh isu jawi seperti tanglung?

Tak kisah gantung di SJK, tapi ini sekolah kebangsaan, janganlah 'over'

BANGI, 14 Jamadilawal 1441H, Jumaat – Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah kesal apabila isu perhiasan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah di Puchong, Selangor lebih mendapat ‘perhatian’ menteri-menteri, berbanding isu tulisan jawi yang ditentang pertubuhan radikal Cina.

Beliau mengakui sedih kerana perjuangan tulisan jawi tidak mendapat sokongan pemimpin Pakatan Harapan (PH), walhal kedudukan jawi jauh lebih besar daripada tanglung dalam soal perpaduan.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah, tujuh menteri dan mungkin lebih, serta pemimpin-pemimpin besar berkunjung ke satu sekolah semata-mata untuk menyaksikan betapa pentingnya perpaduan gara-gara tanglung.

“Bab tanglung mereka bersungguh-sungguh. Sedihnya bila bab jawi, tidak pula bersungguh-sungguh macam ni, apa nak jadi…Istighfar dan mengucap panjang saya.

“Bila tiba bab tanglung, soal perpaduan. Sampai bab jawi tidak kedengaran pula pasal perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jawi bukan sahaja perlu difahami sebagai jati diri dan identiti majoriti orang Melayu, pada masa sama, lambang jata negara, lambang negeri-negeri, tanda halal, dan banyak lagi, terdapat tulisan jawi.

“Malangnya, nak laksanakan jawi, kena tanya PIBG (Dong Zong). Sedihnya. Yang melibatkan hak kepada yang berhak, tak bersungguh-sungguh. 

“Bila tiba hak kepada yang belum tentu namanya hak, kerana melibatkan undi, bersungguh-sungguh. Bila kita nak insaf ni?,” katanya.

Pada masa sama, Ridhuan Tee berkata, beliau tidak menafikan hak minoriti dan menegaskan bahawa mereka mesti dijaga. 

“Tetapi jangan sampai hak majoriti tenggelam dalam hak minoriti. Teringat saya hak orang Uyghur di China. Apalah hak yang mereka ada.

“Saya tidak hairan sangat kalau semua identiti tersebut digantung di Sekolah Jenis Kebangsaan atau Sekolah Persendirian.

“Tetapi untuk sekolah kebangsaan, buatlah berpada-pada, jangan ‘over’. Jika tanglung sebesar gergasi dibawa dan digantung, jangan lupa bila tiba Hari Raya nanti, gantunglah lambang ketupat sebesar lori,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati para pemimpin untuk tidak bertindak berat sebelah hanya kerana undi.

“Cukup-cukuplah, kalau terlalu kemarukkan undi, jangan buat macam ini, tidak baik untuk pembinaan negara bangsa. 

“Dibimbangi bila tiba perayaan agama lain nanti, macam-macam yang pelik-pelik digantung di sekolah aliran kebangsaan. Bila ada precedent, nanti semua orang nak, tak kira berhak ke tidak. Justeru, berpada-padalah,” katanya.

Isu tanglung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 menjadi kontroversi selepas ada pemimpin pembangkang mendakwa, ia dipasang secara berlebihan serta dikaitkan sebagai usaha untuk menyebarkan agama lain kepada murid Islam.

Susulan perkara itu, pihak sekolah bertindak menurunkan perhiasan berkenaan, yang sekali gus menerima kecaman kebanyakan menteri dan timbalan menteri.

Bagaimanapun, satu majlis diadakan untuk memasang semula tanglung di sekolah terbabit yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa menteri lain, antaranya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching serta Menteri Beliau dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close