Berita UtamaIstimewaUtama

Lambakan pelancong China: Kenapa kerajaan lambatkan penguatkuasaan?

Negara berdepan krisis khianat pemimpin sendiri jika isu tak selesai

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 13 Jamadilawal 1441H, Khamis – Negara sedang berhadapan krisis pengkhianatan oleh pemimpin sendiri jika isu lambakan pelancong China dan India yang menggugat keselamatan negara tidak ditangani dengan sebaiknya. 

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Fauzi Asmuni berkata, isu ini bukanlah sesuatu yang baru dan telah disuarakan sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

“Sebagai rakyat, kita mula meragui sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk menyelesaikan isu atau tidak. 

“Kita tidak mahu lambakan pelancong China dan India kelak bertukar menjadi ancaman keselamatan kepada negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini. 

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lalu.

Menurut laporan itu, sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

Selain itu, dilaporkan juga wujud kelemahan dalaman yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dan MyIMMs ketika proses di pintu masuk pelancong.

Tidak berpuas hati dengan laporan itu, Ustaz Fauzi menegaskan, dengan sistem dan peralatan moden yang canggih pada zaman sekarang, adalah mustahil kerajaan tidak mampu menangani isu sebegini. 

“Lama kelamaan rakyat akan mempersoal sama ada pihak dalam kerajaan yang mengambil kesempatan lalu melambat-lambatkan proses penguatkuasaan terhadap mereka yang tinggal tanpa izin di negara ini.

“Jika ini berlaku, maka negara sedang berhadapan dengan krisis pengkhianatan oleh pimpinannya sendiri,” katanya. 

September tahun lalu, polis berjaya membongkar sindiket penjualan MyKad kepada warga China yang didalangi pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kes itu terbongkar selepas pegawai JIM membuat laporan polis berikutan permohonan pasport oleh seorang pemegang MyKad sah, namun pemohon didapati tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dipercayai berlaku pada Mei tahun lalu.

Difahamkan, MyKad berkenaan dijual dengan anggaran harga RM100,000 hingga RM600,000.

Selain itu, pada 20 November lalu, seramai 680 warga negara China termasuk 77 wanita masing-masing berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan.

Kesemua mereka dipercayai menjalankan aktiviti scam atau penipuan secara dalam talian yang berpusat di China dan disyaki sudah beroperasi sejak tujuh bulan lalu.

Terbaharu, seramai 87 warga China ditahan dalam serbuan di beberapa unit kondominium di sekitar Setiawalk, Puchong, kerana dipercayai menjalankan skim pelaburan dan perjudian dalam talian.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 79 lelaki dan lapan wanita yang antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, serta menetap lebih masa di negara ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close