Berita UtamaIstimewaUtama

ISMA saman kerajaan, mahu tutup sekolah vernakular pemecah belah

Makin ramai kaum Cina hantar anak sekolah jenis kebangsaan

BANGI, 13 Jamadilawal 1441H, Khamis – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memandang serius isu perpaduan, yang didakwa pelbagai pihak bahawa sekolah vernakular adalah punca utama ketegangan kaum di negara ini.

Tidak mahu sekolah vernakular terus menjadi ‘pemecah belah’, ISMA yang lantang mempertahankan Perlembagaan, memfailkan writ saman terhadap Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia berhubung kesahan sekolah vernakular.

ISMA sebagai NGO yang menitikberatkan perpaduan dalam pembangunan masyarakat telah mengarahkan barisan peguam diketuai Datuk M Reza Hassan, N Logendran dan Mohamad Farhan Kamarudin bagi mendapatkan keputusan berkait undang-undang di mahkamah.

Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya ketika dihubungi Ismaweb berkata, sudah tiba masanya mahkamah meletakkan satu titik pengakhiran terhadap sekolah vernakular yang sejak dahulu lagi mewujudkan polemik dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.

“Kita tegaskan penubuhan sekolah vernakular adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berperlembagaan yang kita amalkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, sejak pemerintahan Tun Abdul Razak sehingga Tun Dr Mahathir Mohamad, perpaduan cuba diwujudkan dengan menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah satu aliran.

Namun malangnya, statistik menunjukkan semakin ramai kaum Cina menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular.

“Isu pengajaran tulisan jawi di sekolah vernakular sudah cukup membuktikan bagaimana perpecahan dan kebencian ke atas bangsa Melayu begitu kuat.

“Lagipun dari segi Perlembagaan, kewujudan sekolah vernakular ini memang boleh dipersoalkan,” katanya.

Terdahulu, sebanyak dua kes saman writ difailkan dan kedua-duanya juga menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Pada 16 November lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), telah memfailkan writ saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Saman ini difailkan melalui Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil dan pasukan peguamnya akan diketuai oleh peguam kanan, Tuan Haji Haniff Khatri (yang juga peguam peribadi Dr Mahathir).

Selain itu, pada 17 Disember lalu, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz pula telah memfailkan semula permohonan untuk mencabar sistem sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Khairul Azam memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co di Pejabat Pendaftar di ibu negara kerana tidak setuju dengan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close