Berita UtamaUtama

Ahli ISMA maut nahas motosikal

Ustaz Allamah dalam perjalanan dari Johor pulang ke Shah Alam

BANGI, 13 Jamadilawal 1441H, Khamis – Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Shah Alam, Ustaz Mohd Allamah Mohd Ali, 32, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Nilai, Negeri Sembilan kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Allahyarham Mohd Allamah dilaporkan dalam perjalanan dari Johor untuk pulang ke rumahnya di Shah Alam.

Ahli Majlis Syura ISMA, Zaim Shaari berkata, ketika kejadian, Allahyarham menunggang motosikal sendirian dan difahamkan beliau terlanggar tiang lampu.

Mayat Allahyarham telah dihantar ke Bahagian Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk dikafankan dan akan dikebumikan di Masjid Al-Ubudiyah, Shah Alam.

Sementara itu, Naib Presiden ISMA, Prof Zainur Rashid Zainuddin menerusi hantaran di Facebook berkata, Allayarham Mohd Allamah seperti mampu menghidu akan menemui ajal, apabila gigih memperingatkan diri dan kawan-kawannya supaya membuat persiapan untuk menghadapi mati.

“Almarhum Mohd Allamah adalah seorang anak muda yang hebat yang dilahirkan dari keluarga yang hebat serta di sekelilingi persekitaran yang hebat,” katanya.

Prof Zainur berkata, Allayarham Mohd Allamah pernah melanjutkan pelajaran di Darul Quran Kuala Kubu Bharu, Selangor sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir.

Katanya, beliau berkhidmat sebagai imam di sebuah surau di Kota Kemuning, Shah Alam.

“Enam daripada 12 adik-beradiknya adalah para huffaz dan kesemuanya gigih berkeringat dan hidup dengan tautan al-Quran. Beliau meninggalkan seorang isteri dan 3 orang anak kecil.

“Semoga roh almarhum ditempatkan bersama para siddiqin dan para syuhada,” katanya.


Malah, selebriti program realiti televisyen iaitu Pencetus Ummah (PU) Amin dalam satu hantaran di laman Facebook berkata, Allahyarham Mohd Allamah adalah rakan ketika belajar di Universiti al-Azhar.

“Selamat berehat duhai sahabat. Allah janjikan rehat dalam kubur dan akhirat bagi penghafal al-Quran.

“Story beliau ada nasihat untuk selalu ‘post’ benda baik dekat media sosial. Kerana bila meninggal nanti status-status akhir itu akan dibincangkan.

“Betul kata Allamah, kini semua status dia di Facebook dan Instagram diangkat dan dilihat semula,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close