Berita Utama

Konflik MN: Elitis PAS sudah terpisah dari realiti akar umbi

PAS kini sepakat kukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15

BANGI, 30 Syaaban 1442H, Isnin – Semangat Muafakat Nasional (MN) bakal diterjemahkan kepada kerjasama politik di peringkat akar umbi antara UMNO dengan PAS di Pahang.

Demikian kata veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abd Samad tatkala PAS sepakat untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, ia terbit dari keikhlasan hati ahli dan pemimpin peringkat akar umbi kedua-dua buah parti politik itu.

“Keikhlasan ke arah perpaduan dan muafakat ummah meletakkan pemimpin elit PAS yang berada di bilik-bilik berhawa dingin di Putrajaya, Publika dan Kuala Terenganu benar-benar jauh menyepi dari realiti akar umbi mereka sendiri.

“Alhamdulillah. Tahniah kepada kepimpinan UMNO dan PAS negeri Pahang. Sekali lagi Pahang mendahului dengan keikhlasan ke arah perpaduan dan penyatuan ummah dan menolak kerakusan elit!,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau turut memuat naik kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung Jentera Muafakat Nasional Maran.

Dalam kenyataan yang dimuat naik semalam, Wan Rosdy berkata, beliau melihat langkah menyatukan dua parti politik terbesar di Malaysia itu adalah sesuatu yang sangat penting demi bangsa dan agama.

“Oleh yang demikian, di negeri Pahang ini saya berusaha sehabis baik untuk mengharmoni dan menjaga Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS terus kekal.

“Di Maran pada malam ini pula, adalah pelancaran jentera yang pertama dan insya-Allah, kita akan meneruskan ke daerah-daerah lain juga,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button