Berita UtamaUtama

Jawi sama kaligrafi Cina, ada unsur budaya, kenapa hipokrit?

Pelik bila Dong Zong tak lihat jawi sebagai alat pupuk perpaduan

BANGI, 10 Jamadilawal 1441H, Isnin – Tindakan mempromosikan kaligrafi Cina sebagai alat perpaduan tatkala pihak tertentu menentang tulisan jawi jelas dilihat berat sebelah serta tidak adil terhadap orang Melayu dan Islam.

Mengulas laporan berita sebuah stesen televisyen baru-baru ini, ketua pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kesal dengan sikap berdiam diri Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil apabila tulisan jawi dan khat dibantah Dong Jiao Zong, bahkan mempamerkan sikap tidak sensitif mempromosi kaligrafi Cina.

Beliau turut hairan apabila kumpulan pendesak, Dong Zong dan pihak penentang tidak melihat tulisan jawi juga sebagai alat untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, sebaliknya dituduh menjadi bahan agenda Islamisasi.

“Tulisan jawi juga boleh dianggap sama dgn kaligrafi Cina yang mempunyai unsur budaya. Kenapa perlu hipokrit?

“Agaknya YB Fahmi sudah hilang kewarasan kerana ketika polemik tulisan khat-jawi dibantah oleh Dong Jiao Zong yang membuat sidang media menghina jawi secara terbuka, YB Fahmi seakan mempamerkan sikap tidak sensitif dengan mempromosikan program sebegini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, stesen televisyen TV3 menyiarkan tajuk berita ‘Kaligrafi Cina Pupuk Semangat Perpaduan’ yang mengundang kecaman netizen.

Difahamkan, liputan berita bercorak kemasyarakatan itu berkaitan Bengkel Seni Kaligrafi Tahun Baharu Cina anjuran Majlis Perwakilan Rakyat Zon Lembah Pantai serta Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai yang diadakan semalam dan turut dihadiri oleh Fahmi.

Bercakap kepada sidang media ketika di bengkel berkenaan, Fahmi berkata, aktiviti seperti bengkel itu bukan sahaja boleh memupuk semangat perpaduan, malah persefahaman di kalangan rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sebagai Ahli Parlimen yang muda dalam kerajaan, Fahmi perlu rasional dan adil terhadap sensitiviti orang Melayu, Islam.

Katanya, beliau juga tidak sepatutnya hipokrit dan menjadi ‘pak turut’ kepada kumpulan cauvinis yang rasis serta ekstremis.

“Orang Melayu dan Islam sentiasa mengamalkan sikap keterbukaan di negara ini, malah ramai anak Melayu mahir dalam bahasa Mandarin, serta mesra kebudayaan Cina termasuk perayaan, pemakaian dan sebagainya.

“Apabila berkaitan dengan orang Melayu dan Islam, kumpulan tertentu bagaikan dirasuk dan menolak segala berkaitan Melayu dan Islam sedangkan Melayu Islam adalah majoriti di negara ini,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close