Berita UtamaIstimewaUtama

Firdaus Wong tempelak MP DAP desak pecat VC UniMAP

'Jika geng mereka tak perlu minta maaf, bila kita desak letak jawatan'

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 10 Jamadilawal 1441H, Isnin – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menyindir Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago apabila menggesa Naib Canselor UniMAP yang mempertahankan soalan kontroversi dalam kertas peperiksan subjek Hubungan Etnik di universiti itu dipecat.

“Ya saya setuju. Naib Canselor UniMAP perlu dipecat berkait kertas peperiksaan yang memuji Dr Zakir Naik sebagai ikon Islam.

“Sepatutnya kertas peperiksaan menaikkan Waytha Moorthy sebagai ikon perpaduan. Ini sebetulnya. Waytha Moorthy mana ada menipu dan memburukkan Malaysia di luar negara. Dialah menteri yang berjaya menyatu padukan semua rakyat Malaysia,” sindir Firdaus Wong menerusi akaun Facebook.

Terdahulu, Santiago menggesa Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad meminta maaf dan tidak mempertahankan soalan yang seolah-olah memuji penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik sebagai ikon Islam.

Beliau mendakwa Naib Canselor itu memperlihatkan kesombongannya dengan berkata soalan tersebut dipetik di luar konteks apabila ia dikritik orang ramai.

Bahkan pemimpin parti rasis dan cauvinis DAP itu turut menggesa panel ahli akademik yang meluluskan soalan tersebut disingkir dan dipertanggungjawabkan malah akreditasi unversiti berkenaan perlu disemak semula atau ditarik balik jika perlu.

Badlishah sebelum ini berkata, soalan terbabit menjadi tular kerana ia dipetik di luar konteks objektif pembelajaran dan pengajaran kursus Hubungan Etnik.

Beliau menegaskan, soalan itu mematuhi prosedur akademik yang standard sebelum ia digunakan selari dengan topik kertas peperiksaan terbabit, iaitu Cabaran Hubungan Etnik dan Isu Semasa, sementara kursus tersebut bertujuan melahirkan sebuah masyarakat Malaysia berdasarkan acuan Malaysia.

Mengkritik lagi, Firdaus Wong yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) berkata, sepatutnya kertas peperiksaan itu perlu meletakkan M Kulasegaran sebagai ikon keberanian Malaysia kerana berani membuat pendedahan Melayu ini adalah pendatang.

“Itu baru soalan peperiksaan yang betul. Soalan peperiksaan itu juga sepatutnya memuji mereka yang cuba menghidupkan LTTE dan menyokong LTTE itu sebagai ikon kebebasan Tamil. Barangkali perlu dicalonkan juga P Ramasamy sebagai ikon kedamaian.

“Betullah tu Charles Santiago. Apa yang anda dan ‘geng’ buat semua boleh dijustifikasi dan tak perlu mohon maaf dan letak jawatan tetapi andai terkena pada Melayu dan muslim, kena minta maaf, didesak dipecat atau kena letak jawatan,” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close