Berita UtamaIstimewaKata PedangUtama

Maszlee sudah, Nie Ching dan Waytha Moorthy bila lagi?

Menteri-menteri Melayu tunjukkan sikit 'anak jantan' pertahan hak

LAIN yang didesak, lain pula yang dibuang. Itulah lumrah politik. Tak dapat diduga apa akan berlaku. Pedang hormat keputusan Dr Maszlee Malik, mengikut perintah ‘bos’ besar. Cuma Pedang harap pengganti Maszlee nanti bukanlah yang lagi mudarat.

Yang ada sekarang pun sudah peningkan rakyat, ramai sangat yang berebut kuasa daripada memikirkan masalah rakyat marhaen. Sudah diberi mandat, tapi sibuk fikir tugas orang lain. Masa belum jadi menteri, berdegar-degar janji, sampai nak termuntah Pedang dengar. Nah, dapat kuasa buat-buat lupa pula.

Sejak Pakatan Harapan ambil alih, Malaysia seperti jadi bahan jenaka masyarakat dunia. Sudah lah gagal jalankan tanggungjawab, macam-macam isu timbul. Jika sebut Melayu Islam makin terancam, mereka marah. Tapi itu hakikatnya. Dengan isu UEC, Statut Rom, tulisan jawi, komik komunis, abu mayat Chin Peng, bendera 5 bintang, bendera terbalik sehinggalah ke sekolah vernakular. Tak habis-habis. Banyak sangat nak sebut satu persatu. 

Sebab itu, nak jadi pemimpin perlu yang benar-benar berwibawa. Kalau setakat cakap ‘pung pang pung pang’ tapi bila bab nak pertahan hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan mereka kecut. Jadi biarlah peletakan jawatan Maszlee ini menjadi amaran kepada menteri-menteri Melayu yang lain. Tunjukkan sikit anak jantan.

Cuma, Pedang fikir, selain Maszlee yang sepatutnya letak jawatan juga ialah timbalannya, Teo Nie Ching. Tak adil jika Maszlee saja. Pedang yakin yang banyak cetus masalah selama ini adalah Nie Ching.

Nie Ching antara yang lantang pertahan sekolah vernakular. Tidakkah dia sedar selama ini sekolah vernakular punca perpecahan kaum. Adakah sebab kaum sendiri sanggup mengetepikan hasrat dan aspirasi pendidikan negara?

Bukan itu sahaja, Nie Ching juga lantang mempertahan graduan, Wong Yan Ke apabila sijil ijazah pelajar itu disekat selepas mencetuskan kontroversi membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, mendesak naib canselor meletakkan jawatan.

Dia juga ‘berani’ meminta pandangan daripada bukan Islam untuk menambah baik silibus mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan. Dia mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi idea kepada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).

Pelik, isu yang menyentuh kepentingan umat Islam, Nie Ching tanpa rasa bersalah meminta pendapat non muslim. Ini yang Pedang katakan, terlebih sudu dari kuah.

Pedang setuju benar dengan kata-kata pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah. Katanya, ultra kiasu sangat licik. Buat kerja dalam diam, seperti diam-diam ubi berisi, bukan macam kita diam-diam besi berkarat.

Alang-alang Tun Dr Mahathir sedang bermain ‘game’, Pedang fikir perdana menteri patut memilih P Waytha Moorty sebagai sasaran. Arahkan Menteri Perpaduan dan Integrasi Nasional berundur secara terhormat atau arahan seperti yang dibuat terhadap Maszlee.

Tidak pasti kenapa Waytha Moorty begitu kebal. Dia pernah menyebarkan fitnah mengenai Malaysia kepada negara luar. Dahulu, tular video menunjukkan Waytha memburuk-burukkan negara dan menggambarkan seolah-olah Malaysia melakukan penindasan teruk kepada kaum serta penganut agama lain.

Waytha Moorthy juga pernah dikaitkan dengan isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya tahun 2018, sehingga meragut nyawa pegawai bomba, Muhammad Adib Mohamad Kassim. Dia menyalahkan pihak polis di atas kekacauan yang berlaku di kuil berkenaan.

Dia juga berkeras mahu meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Jadi, tidak ada sebab untuk Tun Mahathir simpan lagi menteri ini. Petisyen menuntut perlucutan jawatan Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Senator juga sudah cecah 314,903 sokongan. Tapi malang, ia seolah-olah tidak diendah.

Kata Pedang: Jika Nie Ching, Waytha Moorthy ada maruah dan integriti, mereka mesti letak jawatan…ikut jejak Maszlee.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close