Berita PilihanBerita UtamaKata Pedang

Jangan salah pilih, jika ‘kroni parti cauvinis sendiri mau ingat’

Kita tak mahu medan pendidikan diperjudi dengan percaturan politik

RASANYA semua sudah tahu Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan. Tapi punca kenapa Ahli Parlimen Simpang Renggam itu letak jawatan masih menjadi tanda tanya.

Pedang pasti isu Maszlee menjadi topik perbincangan ‘panas’, bukan sahaja di media sosial, tapi juga di kedai-kedai kopi. Pagi tadi Pedang singgah sarapan di sebuah kedai Melayu. Pedang pasang telinga bila terdengar mereka berbual isu peletakan jawatan Maszlee.

Banyaklah spekulasi timbul, Maszlee dapat tekanan parti cauvinis DAP, Maszlee jadi kambing hitam, Maszlee gagal selesaikan isu tulisan jawi, Maszlee tak dapat bersuara sebab timbalannya lebih sudu dari kuah. Bagus juga fikir Pedang. Orang Melayu kita sudah ‘ambil tahu’.

Tetapi bukan itu yang Pedang nak ulas. Yang menjadi teka-teki sekarang siapa yang layak untuk menggantikan Maszlee, menggalas tanggungjawab portfolio yang agak berat ini. Tiada siapa tahu.

Pedang setuju kata-kata Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya – sejarah membuktikan tidak ada sesiapa yang boleh membaca ‘game’ Tun Dr Mahathir Mohamad. Kerana jelas perletakan jawatan Maszlee dibuat bukan dengan kerelaannya sendiri tetapi di minta oleh Tun Mahathir.

Bak kata rakan Pedang, siapa pun yang bakal menerajui Kementerian Pendidikan, orangnya mesti cukup segala ramuan. Maksud Pedang cukup semua aspek, sama ada seni politik mahupun kelayakan serta pengalaman dalam pentadbiran. Yang penting Melayu Islam.

Ada benar juga kata-kata ini, bukan untuk menidakkan kebolehan ahli akademik seperti Maszlee, tetapi dalam menerajui Kementerian Pendidikan perlukan seseorang yang mahir dan lantang bersuara. Jangan perjudikan nasib pelajar dengan percaturan politik.

Mesti diingat diingat portfolio pendidikan berdepan tekanan hebat sejak akhir-akhir ini dengan isu penulisan jawi, pengedaran komik komunis, sekolah vernakular sehingga kepada kelulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Jika tokoh yang dipilih lembik, tunduk desakan Cina…musnahlah aspirasi pendidikan negara.

Kita memerlukan seorang pemimpin yang tenang berdepan dengan segala tekanan, berpengalaman mencari solusi dan berdiri teguh dengan pendirian demi kebaikan bersama.

Salah langkah dalam memiliki individu selayaknya bakal mengundang mudarat bukan sahaja kepada sistem pendidikan bahkan perpaduan negara. Beberapa nama sedang disebut-sebut ketika ini. Kita tunggu dan lihat.

Cuma, Pedang berharap Tun Mahathir mengambil masa dan memikirkan semasak-masaknya sebelum menamakan pengganti Maszlee, kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Kata Pedang: Jika pengganti Maszlee nanti muslim berwibawa pasti aspirasi pendidikan dapat direalisasi, tapi jika dari parti cauvinis ‘sendiri mau ingat’.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close