Berita UtamaKolumnisPendapatUstaz Zamri bin Hashim

Menanti pemimpin penyelamat

Abu Bakar tegas perangi orang enggan jalani perintah Allah SWT

1. BAGI kita yang mengkaji sejarah Islam pastilah telah memiliki pandangan positif tentang betapa sempurnanya ajaran agama ini, hingga mampu menampilkan sejumlah pemimpin yang hebat.

2. Di antara para sahabat besar seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar bin Khatthab, Uthman bin Affan, dan Ali bin Abu Thalib ditambah lagi dengan para tabi’in yang pernah menjadi pemimpin di kalangan umat Islam.

Apabila mengenang kembali corak kepimpinan mereka, maka ia menumbuhkan kerinduan supaya kembali hadir tokoh-tokoh kepimpinan seperti mereka.

Kepimpinan mereka sepatutnya menjadi contoh masa hadapan dan menjadi senarai semak dalam pemilihan pemimpin.

i) Abu Bakar pemimpin warak

Dalam satu ucapan, Abu Bakar dengan lantangnya mengungkapkan:

“Orang yang kalian nilai kuat, sebenarnya ku anggap lemah. Adapun yang kalian pandang lemah adalah orang yang kuat dalam pandanganku.”

Inilah ucapan yang menggambarkan keberanian dan keadilan baginda sebagai pemimpin.

Tidak membuka peluang untuk berkongsi dengan orang yang ada kekuatan. Akan tetapi, lebih memilih untuk menjadi penguat bagi mereka yang lemah.

Kekuasaan tidak digunakan untuk menguntungkan orang-orang terdekat sebaliknya rakyat kecil dibela.

Bahkan baginda tegas mengangkat pedang untuk memerangi mereka yang telah murtad, yang enggan menjalankan perintah Allah SWT dengan menyebarkan kesesatan, dan yang tidak mahu mengeluarkan zakat.

Penyimpangan iman pasca wafatnya Rasulullah ﷺ ini telah menggerakkan Abu Bakar untuk membentuk 11 unit pasukan perang, untuk memerangi para pelakunya.

Apa yang pernah dikatakan dan dilakukan Abu Bakar sebagai pemimpin adalah sebuah komitmen imaniah antara Allah SWT, dirinya dan umat yang dipimpinnya ketika sudah diangkat sebagai khalifah.

Segala janji dalam ucapan sulung baginda dikotakan walaupun singkat zaman pemerintahannya.

“Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti dimintai pertanggungjawabannya.” (Qs. al-Isra`: 34)

ii)Umar al Khatthab, khalifah berani yang gemar turun padang

Keberanian dan ketegasan Umar al-Khattab menyebabkan syaitan menjauhi dari jalan yang akan dilaluinya terhalang.

Baginda begitu mudah menitiskan air mata jika ada rakyatnya yang kelaparan.

Baginda tidak akan nyenyak tidur hingga memastikan perut-perut rakyatnya telah terisi makanan.

Suatu ketika, khalifah Umar bertemu seorang ibu yang memasak batu hanya untuk menghibur anak-anaknya yang menangis kelaparan kerana tidak lagi memiliki makanan.

Pada saat itu juga, Umar sendirilah yang memikul sekarung gandum yang diambil dari gudang negara.

Baginda sangat merahsiakan kerja amalnya ini.

Setidak-tidaknya pemimpin akan datang, janganlah sampai menunggu kilauan cahaya kamera wartawan untuk memulakan pemberian bantuan.

Amat jarang kita menemui pemimpin di kalangan Islam yang memiliki gaya kepimpinan hebat seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz, yang mematikan lilin istana ketika berbincang dengan anaknya, kerana tidak patut bagi seorang Khalifah menikmati cahaya lilin yang dibeli dari wang rakyat untuk menyelesaikan masalah keluarganya.

Ketika baginda berkuasa tidak lagi ditemui penerima zakat. Penurunan statistik kemiskinan yang cukup drastik menjadi indikator berjayanya baginda mengurus ekonomi negara.

iii) Said bin Amir al-Jumahi seorang gabenor Syam atau Hims di zaman khalifah Umar bin Khatthab

Ketika khalifah melantiknya sebagai gabenor, Said mempunyai persepsi tersendiri terhadap jawatan ini.

Bukan ungkapan kegirangan atau ucapan terima kasih. Namun seperti orang yang tertimpa musibah baginda menolak amanah itu dan berkata,:

“Demi Allah, jangan tuan timpakan fitnah kepadaku dan jangan kau kalungkan amanah ini di leherku, jangan wahai Umar!”

Khalifah Umar kemudian menjawab,:

“Kamu semua pindahkan seluruh urusan ke bahuku. Apakah kamu semua akan biarkan aku sendirian menanggung beban ini?”

Lantaran jawaban Umar itulah akhirnya dengan terpaksa Said pergi ke Hims untuk menjadi gabenor, namun, namanyalah juga yang tertera sebagai salah satu penduduk termiskin di negeri yang dipimpinnya sendiri.

iv) Salahuddin al-Ayyubi.

Separuh hidupnya diwakafkan untuk membebaskan negeri-negeri muslim dari cengkaman penindas.

Baginda pantang menyerah tatkala berada di medan jihad hingga begitu disegani oleh pemimpin-pemimpin dunia pada saat itu.

Baginya, tiada sejengkal  tanah kaum muslimin pun layak dihina oleh sesiapa.

3. Allah SWT menghadirkan begitu banyak kisah-kisah kepemimpinan baik untuk menjadi teladan sebagai petunjuk berperilaku bagi pemimpin di era kini dan di masa akan datang.

Allah menceritakan kisah Firaun dan Namrud di dalam al-Quran bukan untuk diikuti, tetapi untuk diambil pengajaran.

Sejarah menghadirkan kisah kepimpinan hebat yang memenangkan agama Allah SWT, supaya para pemimpin memiliki banyak pilihan sebagai ikon bagi arah dan perilaku kepimpinan mereka, juga bagi rakyat memilih pemimpin mereka.

#MelayuSepakatIslamBerdaulat
#MembangunUmatBeragenda

Sahibus Samahah
Datuk Ustaz Hj. Zamri b. Hashim
Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia
ISMA Cawangan Ipoh

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close